KLUANG: Seorang ibu tunggal dan tujuh anaknya terpaksa berkongsi satu-satunya telefon pintar milik keluarga itu untuk berniaga dalam talian dan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) akibat kesempitan hidup.
Umi Naza Osman, 36, berkata oleh kerana hanya ada satu peranti iaitu telefon pintar miliknya, anak-anaknya bergilir menggunakan peranti itu menyebabkan sesi PdPR anak-anaknya sering terganggu apabila adanya pertindihan waktu pembelajaran antara satu sama lain.
Anak sulung di tingkatan lima hingga anak bongsunya yang berusia 4 tahun di taska mengikuti modul pembelajaran menggunakan telefon pintar.
Beliau berkata adakalanya sesi pembelajaran anak-anaknya turut terganggu apabila ada pelanggan menghubungi untuk membuat tempahan kerepek ubi atau kerepek pisang yang kini menjadi sumber utama pendapatannya.
“Selama ini saya khuatir apabila anak-anak tidak dapat menumpukan perhatian apabila terdapatnya gangguan sama ada terpaksa berkongsi peranti atau adanya tempahan untuk perniagaan saya yang dilaksanakan secara kecil-kecilan ini.
“Bukannya saya tidak mahu membelikan telefon lain, tetapi pendapatan saya ini terpaksa saya dahulukan untuk keperluan lain, termasuklah membayar duit sewa rumah sebanyak RM300 sebulan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Rahmat, Sri Lalang, dekat sini.
Katanya lagi, anak-anaknya amat memerlukan peranti seperti telefon pintar apabila sesi pengajaran dan pembelajaran semasa PKP kini dilaksanakan secara dalam talian.
Umi ditemui ketika lawatan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Dr Wee Ka Siong ke kediamannya hari ini semasa program penyampaian sumbangan keperluan harian kepada golongan memerlukan di kawasan parlimen itu.
Sementara itu, masalah yang dihadapi oleh Umi ini mendapat perhatian Wee apabila pihaknya menyumbangkan dua telefon pintar kepada mereka sekeluarga.
Kata Wee yang juga Menteri Pengangkutan, diharapkan dengan pemberian telefon pintar itu akan dapat memudahkan sesi PdPR anak-anak Umi, dan membolehkan pengusaha kerepek itu menggunakan sepenuhnya telefon bimbit miliknya untuk perniagaan. - BERNAMA
KLIK BACA: "Penjenayah dukung kerajaan PN" punca rasuah, kata Tun Mahathir
KLIK BACA: Derhaka paling dahsyat kerajaan sengaja 'leka' lanjut darurat PKP, kata Najib
Berita Harian Cina Harian Metro Malaysiakini BM MCA Melayu Miskin Sekolah Sinar Harian Sinar Online