LHDN menuntut hampir RM2.5 juta dalam tunggakan cukai dari Loo Ai Swan dan lebih RM6.7 juta dari Casey Tang Keng Chee. - Foto FMT
PUTRAJAYA: Kerajaan menyaman dua lagi individu yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho hampir RM10 juta atas cukai tidak dibayar.
Fail mahkamah menyatakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) awal bulan lalu mengemukakan saman terhadap Loo Ai Swan, juga dikenali sebagai Jasmine Loo, bekas peguam 1MDB, atas tunggakan cukai sebanyak RM2,496,133.
LHDN juga menyaman Casey Tang Keng Chee, bekas pengarah eksekutif 1MDB untuk pengembangan perniagaan, atas jumlah sebanyak RM6,779,852.
Dilaporkan semalam, Eric Tan Kim Loong, rakan sekerja Low, disaman oleh kerajaan atas RM68 juta cukai tidak dibayar.
Ketiga-tiganya ada dalam senarai buruan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan skandal 1MDB dan dituduh bersama Low, yang juga dikenali sebagai Jho Low.
Loo, 48, dikatakan berhutang cukai untuk tahun taksiran 2012 hingga 2018. Notis sudah dihantar ke alamat terakhirnya di Damansara Heights pada November, tetapi tidak berjawab.
Kerajaan kini mahu menuntut RM2,496,133 serta faedah 5% setahun dari tarikh penghakiman diperoleh sehingga hari jumlah itu dibayar.
Dalam kes Tang, 56, kerajaan ingin menuntut RM6,779,852, berserta faedah 5% setahun dari tarikh penghakiman diperoleh sehingga hari jumlah itu dibayar.
Satu notis dihantar pada 6 Okt lalu ke alamat terakhirnya di Taman Sri Endah di sini tetapi juga tidak berjawab.
Seorang peguam percukaian memberitahu FMT, kerajaan boleh memohon untuk penghakiman ingkar sekiranya sudah mengambil semua langkah untuk menyampaikan surat kausa kepada Loo dan Tang atau peguam mereka.
KLIK BACA: "Penjenayah dukung kerajaan PN" punca rasuah, kata Tun Mahathir
KLIK BACA: Derhaka paling dahsyat kerajaan sengaja 'leka' lanjut darurat PKP, kata Najib