Tun Mahathir - Jangan sampai bukan Melayu berhijrah, ekonomi terjejas, naratif kaum PN

Ana Ghoib Syeikh Malaya 10:32 PTG
 
Dr Mahathir Mohamad khuatir naratif kaum yang diuar-uarkan secara melampau akan membawa kepada ketidakstabilan negara dan menyaksikan penghijrahan keluar lebih ramai kaum bukan Melayu, dalam ulasannya mengenai kerajaan Perikatan Nasional.

Bekas perdana menteri itu berkata sekiranya lebih ramai kaum bukan Melayu berhijrah kerana keadaan dalaman negara, pembangunan Malaysia akan terjejas, malah “bertukar menjadi negatif.”

Kerajaan PN didokong oleh PPBM pimpinan Muhyiddin Yassin, PAS dan Umno serta memperolehi sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain.

Pemimpinnya sering menguar-uarkan keperluan menggembeleng semua parti politik bawah PN untuk menjamin kelangsungan kaum Melayu dan memperkukuh kedudukan Islam.

Di tanya apa yang bakal berlaku jika PN terus-menerus membawa naratif berteraskan kaum, Mahathir berkata ia memberi kesan buruk kepada negara.

“Ia akan membawa kepada ketidakstabilan, orang akan meninggalkan negara ini. Jika anda menyebabkan mereka keluar, pembangunan negara akan terjejas, malah bertukar menjadi negatif,” kata beliau kepada FMT dalam wawancara khas.

Mahathir mengingatkan hakikatnya masyarakat bukan Melayu menyumbang kepada pembangunan negara dan Malaysia sebuah negara majmuk.

“Kita sudah terima, sejak Merdeka, bahawa negara ini pelbagai kaum. Jadi kita perlukan sebuah kerajaan pelbagai kaum.”

Bagaimanapun, Mahathir berkata kaum Melayu masih memerlukan pemerkasaan untuk memperbaiki kedudukan ekonomi mereka, tanpa meminggirkan kaum lain.

Beliau berkata ramai orang Melayu, walaupun merangkumi majoriti penduduk, masih dibelenggui kemiskinan.

Justeru, katanya, wujud keperluan membangunkan kedudukan orang Melayu supaya pengagihan kemewahan negara dapat dilakukan secara adil.

Mahathir berkata jurang antara yang miskin dan kaya tidak boleh terlalu lebar kerana ia boleh mencetuskan pergaduhan. - FMT