PN kerajaan Melayu Islam terpalit dakwaan Kronisme, kata Tun Mahathir

Ana Ghoib Syeikh Malaya 4:24 PG


Kerajaan Melayu-Islam Perikatan Nasional (PN) dibelenggui dakwaan kronisme melibatkan pemimpinnya termasuk perdana menteri, dan tidak memberi manfaat kepada seluruh masyarakat Melayu, dakwa Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu juga mendakwa idea kerajaan Melayu-Islam oleh PN pada Feb tahun lalu hanya berupa retorik, untuk memperdayakan orang Melayu untuk memperolehi sokongan mereka.

Beliau berkata sejak memegang kuasa, PN gagal untuk benar-benar membantu masyarakat Melayu, sebaliknya tercalar dengan pelbagai tuduhan melibatkan pemimpinnya.

“Saya tak nampak apa-apa yang seperti itu. Kalau ada apa-apa pun, ia berita buruk mengenai kronisme, pemberian kontrak kepada orang tertentu. Ini termasuk (dakwaan) perdana menteri sendiri terlibat memberikan kontrak kepada saudara-maranya.

“Jadi, ini sama sekali tidak membantu masyarakat Melayu. Kita tidak nampak orang Melayu lain yang mendapat manfaat daripada kerajaan yang ada sekarang,” kata Mahathir.

Kerajaan PN didokong oleh PPBM pimpinan Muhyiddin Yassin, PAS, dan Umno serta memperolehi sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain.

Kalangan pemimpinnya kerap menegaskan agenda utama PN adalah memperkasakan kedudukan istimewa kaum Melayu dan Islam sebagai agama persekutuan.

Bagaimanapun, dalam wawancara dengan FMT, Mahathir mendakwa PN ditubuhkan hanya untuk memperdaya kaum Melayu supaya berfikir “bahawa kerajaan ini akan membantu mereka sahaja”.

“Apabila mereka membentuk kerajaan, mereka (pemimpin PN) sedar mereka tidak boleh menubuhkan sebuah kerajaan Melayu-Islam secara total,” kata Mahathir.

“Jadi kerajaan yang disebut-sebut sebagai kerajaan Melayu-Islam ini sebenarnya bergantung kepada (sokongan wakil rakyat) Cina dan India,” kata bekas Perdana Menteri itu lagi.
 
Hakikatnya, kata Mahathir, kerajaan PN pimpinan Muhyiddin amat rapuh dan mudah ditumbangkan jika beberapa Ahli Parlimen bukan Melayu dalam gabungan itu berpaling tadah.

“Jika 7 atau 8 Ahli Parlimen Cina dan India yang ada sekarang meninggalkan kerajaan (PN), kerajaan akan tumbang. Jadi kerajaan yang disebut-sebut sebagai kerajaan Melayu-Islam ini sebenarnya bergantung kepada (sokongan wakil rakyat) Cina dan India,” kata beliau.