Kelantan yakin Putrajaya dikuasai Umno serius laksana hudud

Ana Ghoib Syeikh Malaya 10:45 PTG


Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah - Gambar Free Malaysia Today


Kelantan yakin kerajaan pusat mempunyai kesungguhan untuk melaksanakan hudud di negeri itu.Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keyakinan itu timbul berdasarkan pertemuan terbaru bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Januari lalu bagi membolehkan Akta 355 dipinda, lapor akhbar Sinar Harian.

"Memang ada komitmen untuk kerajaan persekutuan untuk meneruskan pindaan Akta 355. Cuma ada beberapa isu teknikal tidak selesai yang menyebabkan pada tahun lepas kita tidak boleh bentang di Parlimen dan mereka juga tidak boleh bawa.

"Daripada perbincangan kita lihat ada komitmen yang diberikan dan kita harap komitmen itu benar dan diteruskan," katanya.

Selain itu, naib presiden PAS itu berkata, kerajaan persekutuan kini sedang berusaha untuk mendapatkan persetujuan daripada semua negeri dan perkenan Majlis Raja-raja sebelum ia boleh dibawa ke Parlimen.

"Secara umumnya sebarang pindaan yang hendak dibuat yang menyentuh mengenai mahkamah syariah, undang-undang Islam ini kena dapat perkenan Majlis Raja-raja.

"Setakat ini lebih separuh negeri telah bersetuju untuk pinda akta ini. Jadi bila semua negeri sudah perkenan dan dibawa kepada Majlis Raja-raja barulah boleh dibentangkan di Parlimen. Ada beberapa negeri lagi belum. Jadi itu yang tertangguh," ujarnya.

Bagaimanapun, Mohd Amar menjelaskan beliau tidak dapat menjangkakan tempoh perkara itu akan dibentangkan di Parlimen memandangkan ia perlu diselesaikan dengan negeri yang masih belum menyatakan persekutuan untuk meminda Akta 355 itu.

"Ini lebih kepada aspek teknikal sahaja yang memerlukan masa... kena selesai benda ini dulu, sebab agama berada di bawah bidang kuasa sultan.

"Memang harapan kita tahun ini sempat (untuk dibentangkan)," katanya lagi.