Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham - Foto ihsan Malaysia Dateline. |
oleh Lim Lip Eng
Surat Terbuka
Kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Azizan Harun dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah
PERBEZAAN TEMPOH KURANTIN ANTARA RAKYAT DAN MENTERI
Kelonggaran peraturan kuarantin untuk para menteri yang telah diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba jelas membuktikan bahawa darjat mereka berlainan dengan orang kebanyakan.Sehingga sekarang, tiada penjelasan yang kukuh diberikan oleh menteri berkenaan dan pewartaan undang-undang ini disifatkan sebagai tindakan yang hina dan tidak menghormati usaha membendung wabak Covid-19.
Pertama sekali, persoalan ini ingin saya utarakan kepada Peguam Negara. Sebagai seorang figura yang bertanggungjawab dalam mentafsirkan undang-undang di Malaysia, apakah tindakan Menteri Kesihatan dalam memendekkan tempoh kuarantin ini dilihat sebagai tindakan “ultra vires”?
Tempoh kuarantin tiga hari yang ditetapkan untuk golongan menteri ini dilihat bercanggah dengan tempoh kuarantin yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sekiranya diteliti dengan mendalam, pemendekan tempoh kuarantin ini dilihat tidak sejajar dengan prinsip ‘satu undang-undang untuk semua (one law for all)’.
Kedua, adakah ini juga salah satu cara Menteri Kesihatan mengambil kesempatan di atas kelopongan yang wujud di dalam Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)?
Malaysia sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, mengapakah prinsip ‘asas kesamaan di depan hukum (equality before the law)’ tidak dipratikkan kepada golongan menteri? Apakah rasional para menteri mendapat layanan yang berbeza?
Beralih kepada Pengarah Kesihatan, apakah pewartaan pemendekan tempoh kuarantin ini merupakan keputusan kolektif pihak KKM dan adakah keputusan ini nasihat dari golongan pakar?
Mengikut garis panduan kuarantin terkini, mana-mana individu yang pulang ke Malaysia setelah mengembara ke negara luar hendaklah menjalani kuarantin bertempoh selama 10 hari. Perintah kuarantin selama 10 hari merupakan usaha yang telah dibuktikan oleh kajian saintifik untuk membendung penularan wabak Covid-19.
Justeru itu, tiada sebab untuk para menteri untuk menjalani tempoh kuarantin yang pendek, melainkan sistem imunisasi golongan menteri telah ditetapkan secara khas untuk melawan Covid-19.
Saya berharap jawapan yang kukuh daripada Peguam Negara dan Pengarah Kesihatan atas apa yang telah dibincangkan. Jawapan yang bakal diberikan akan membuktikan samada kerajaan benar-benar menghormati rakyat atau melihat mereka sebagai tukang undi sahaja.
Hampa, lelah dan marah. Itulah gambaran perasaan rakyat di Malaysia pada ketika ini. Setiap hari, rakyat terpaksa menanggung beban dek kerana ketidakcekapan kerajaan Perikatan Nasional.
Di saat rakyat terpaksa berhadapan dengan undang-undang tegas, para menteri bergerak bebas bak unggas. Saya benar-benar kesal melihat layanan antara dua darjat yang telah menjadi norma baharu di negara kita.
Yang ikhlas
LIM LIP ENG
Ahli Parlimen Kepong (DAP)
KLIK BACA: "Penjenayah dukung kerajaan PN" punca rasuah, kata Tun Mahathir
KLIK BACA: Derhaka paling dahsyat kerajaan sengaja 'leka' lanjut darurat PKP, kata Najib
Covid-19 Free Malaysia Today Malaysiakini BM Politik Sinar Harian