PKPD anggota tentera memasang kawat berduri - Foto ihsan FMT |
Kerajaan memutuskan perintah kawalan pergerakan diperketatkan dikenakan di 18 Taman Perumahan dalam Bandar Muadzam Shah kecuali Bandar Satelit Rompin, Pahang bermula 9 sehingga 22 Februari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan terdapat peningkatan kes Covid-19 di Bandar Muadzam Shah, Rompin, Pahang yang melibatkan komuniti di taman-taman itu, lapor portal Free Malaysia Today.
Katanya, 18 taman itu adalah di Desa Bidara, Desa Keranji, Taman Redan Perdana, Desa Teratai, Desa Melor, Desa Mawar 1, Desa Mawar 2, Desa Jati 1, Desa Jati 2, Desa Anggerik, Desa Kenanga, Desa Tanjung, Desa Dahlia 1, Desa Dahlia 2, Desa Cempaka, Desa Alamanda, Pinggir Pelangi dan Desa Semarak.
“Sehingga kini, KKM melaporkan sebanyak 13 kes positif telah direkodkan dalam Kluster Hikmah melibatkan jemaah Masjid Al- Muadzam Shah serta ahli keluarga yang tinggal di taman-taman ini.
“KKM turut mengesahkan terdapat peningkatan secara mendadak melibatkan komuniti dengan 13 kes tersebut telah direkodkan dalam masa 10 hari,” katanya.
Bagaimanapun, Ismail berkata PKPD itu tidak akan melibatkan Bandar Satelit.
Katanya, PKPD ini akan melibatkan seramai 9,805 penduduk dan 2,178 rumah di taman-taman ini
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal melalui saringan secara bersasar ke atas penduduk di lokaliti-lokaliti ini dan untuk mengawal penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti di kawasan tersebut,” katanya.
KLIK BACA: Peguam Negara Tommy Thomas LETIH selesai kes 1MDB, Jho Low, Najib, Equnimity.