Ulasan dan pulasan buku memoir Tommy Thomas
Oleh DR MOHAMED HADI AH
Atas rangkaian isu 1MDB ini sahaja, aku sifatkan TT telah berjaya melakukan keajaiban meskipun hanya sempat menjadi AG selama 21 bulan.
Pencapaian beliau sebelum itu sebagai peguam litigasi korporat juga mengagumkan. Pertikaian bon, penstrukturan semula hutang dan tadbir urus korporat merupakan sebahagian daripada kepakaran TT. Bank Bumi, Danaharta, CIMB pun cari TT. Sesuatu yang patut difikirkan oleh peguam bumiputera yang selesa dalam zon sendiri (termasuklah aku yang awal-awal cabut lari).
Dengan terlalu banyak masalah yang perlu diselesaikan sebagai AG, banyak perkara yang terlepas pandang dan tentunya ada kesilapan telah berlaku yang turut diakui oleh TT sendiri.
Tetapi cerita yang paling menyayat hati tentulah cerita runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) di tangan Tun Mahathir (TM) sendiri. TT seqodar mengesahkan sahaja apa yang berlaku menurut sudut pandangnya selaku Peguam Negara (AG). Kita sudah baca sebahagian pendedahannya melalui media-media dalam talian sehari dua ini.
Cerita TM hilang majoriti sebenarnya tak pernah timbul. Itu hanya cerita rekaan yang datang kemudian, setidak-tidaknya melalui apa yang TM sebutkan sendiri kepada TT.
Selepas memecat dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri (PM), TM turut memecat seluruh kabinet PH dan Agong tiada pilihan melainkan memperkenankannya. TT juga tiada pilihan selain membenarkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) mengeluarkan kenyataan pada Isnin (24/2) di sebelah malam bahawa seluruh kabinet tersingkir dan tinggal TM seorang sahaja sebagai PM interim.
Kerajaan ketiadaan kabinet selama 3 minggu. Petaka Covid-19 bermula dari sini dan berlanjutan sehingga ke hari ini.
Pada petang Selasa (25/2), TM memaklumkan kepada TT bahawa dia akan kekal sebagai PM kerana semua 222 ahli parlimen menyokong beliau sebagai PM. Ketika inilah TM memberitahu TT hasratnya untuk membentuk unity government (UG) tanpa pembangkang dan yang paling penting, tanpa Anwar dan tanpa Lim Guan Eng. TT begitu terkejut dengan keputusan TM.
TT bingung kerana tidak semena-mena TM ingin melayan permintaan Umno dan Pas untuk menyingkirkan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan menamatkan perkhidmatan TT sebagai AG, sedangkan TM sendiri tak pernah komplen apa-apa mengenai prestasi TT sebagai AG.
Menurut TT, serangan bertubi-tubi TM kepada Anwar pasca Langkah Sheraton hanya mengesahkan lagi bahawa TM sememangnya tidak pernah mahu Anwar menggantikannya sebagai PM. Dengan pembentukan UG, PH sudah tiada dan semua manifesto dan janji PH pun boleh masuk tong sampah.
Malangnya, TM terciduk apabila semua yang berjanji untuk menyokongnya bertempiaran lari pada keesokannya hari Rabu (26/2). TM hanya dapat 62 undi, Anwar 92, yang selebihnya berkacawoli. Muhyiddin tidak dapat walau satu undi pun ketika itu.
Pada asalnya, memang TT yang menasihatkan Agong supaya memanggil sidang Dewan Rakyat untuk menentukan sokongan terhadap PM. Malangnya, nasihat itu hanya dapat disebut sekali lalu sahaja kepada Agong pada hari Rabu (26/2) dan pada hari itu juga dijadualkan Agong memanggil kesemua 222 ahli parlimen satu persatu bagi menentukan sokongan terhadap PM. Di situlah TM cuma mendapat 62 undi.
Cemas dengan rancangan yang gagal kerana hanya mendapat 62 undi, TM memanggil TT dengan segera pada keesokan harinya Khamis 27/2 dan memaklumkan bahawa Agong menitahkan supaya sidang Dewan Rakyat dipanggil untuk menentukan siapa yang mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.
Malangnya, seseorang di Pejabat Perdana Menteri telah menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat dan surat itu tidak sempat disemak oleh TT. Isi kandungan ini kemudiannya menjadi punca mengapa Tan Sri Ariff menolak sidang Dewan Rakyat atas sebab teknikal. TT mengakui berlaku miscommunication dan salah faham di peringkat ini.
Dalam masa yang sama, TT juga tidak dapat menasihatkan Agong dan permohonan TT untuk mengadap Agong tidak mendapat maklum balas. Dalam tempoh genting itu, TT juga telah dipinggirkan oleh pihak Istana Negara.
Peminggiran ini berkait rapat dengan idea Agong memanggil ketua parti satu persatu untuk bertanyakan sokongan terhadap PM. Kaedah ini merupakan cadangan yang datang dari pihak lain, bukannya TT selaku AG. Kaedah ini dibuat tanpa merujuk kepada TT selaku AG. Dengan kaedah ini juga Muhyiddin berjaya sailang TM seterusnya menjadi PM ke-8.
Menurut TT, idea TM untuk membentuk UG dan mahu melantik sesiapa sahaja sebagai menteri kabinet tanpa mengikut hierarki parti telah menyebabkan ahli parlimen lari bertempiaran meninggalkannya. Ini mirip seperti apa yang berlaku dalam kabinet Muhyiddin sekarang. Mamat heavy mental entah dari mana tiba-tiba jadi Menteri Kanan. Orang yang tiada jawatan dalam Umno menjadi menteri, sedangkan yang ada jawatan dipinggirkan. Patutlah orang lari. Formula sifir yang salah menyebabkan TM terciduk dengan helahnya sendiri.
Demikianlah Allah runtuhkan kerajaan PH disebabkan pengkhianatan TM sendiri dan by extension, malapetaka Covid-19 yang menimpa negara ini juga berpunca dari tangan TM sendiri. Akibat mengkhianati manifesto dan mengkhianati PH, malah lebih teruk lagi, mengkhianati amanah pengundi yang telah bersusah payah berkempen, menyokong dan mengundi PH.
Semua ini tidak ada dalam pertimbangan TM ketika meletak jawatan. TT tentu lebih kecewa kerana sewaktu TM mengumumkan peletakan jawatannya, TT sedang berada di mahkamah bagi mengetuai pendakwa raya dalam perbicaraan kes jenayah SRC ke atas Datuk Seri Najib Razak.
TT mengenang semula insiden patutlah Nurul Izzah bermati-matian menolak kerjasama dengan TM pada 2016, kerana perkara-perkara sebeginilah. TT terkesan kerana dialah antara pihak yang memujuk Izzah ketika itu.
Bagi aku, TM telah mempermainkan dan menyusahkan institusi-institusi penting negara, termasuklah Agong dengan membuat keputusan sesuka hati, degil dan bebal kerana mahu semua orang mengikut telunjuknya dan begitu yakin dia akan berjaya mendapatkan apa yang dimahukan.
Tidak hairanlah Agong pun naik menyampah dan enggan melayan kerenah TM ini, justeru mengapa istana menutup pintu meskipun TM kembali mendapat sokongan 114 ahli parlimen pada malam 28/2.
Tindakan Parti Keadilan Rakyat yang enggan melayan dongeng jadi PM selama 6 bulan sahaja itu aku fikirkan tepat sekali. Kepercayaan tidak akan ada tanpa kejujuran dan keikhlasan.
Runtuhnya kerajaan PH memang realiti yang pahit buat para pemimpin dan penyokong PH tapi secara tidak langsung melondehkan perangai sebenar TM. Bagi sesetengah orang hilang kerajaan pun tak mengapalah asalkan tidak berketuakan TM yang tak ketahuan pendirian dan mengabaikan prinsip musyawarah. Esok lusa entah dia buat palatao lagi lepas tu menyusahkan semua orang lagi.
Bagi TT sendiri, dua tahun sebagai AG sudah mencukupi. Dan kita pun dapatlah membaca memoirnya hari ini.
Penulis Dr Mohamed Hadi Ah adalah bekas pengajar bidang undang-undang UIA. Tulisan asal disiarkan penulis dalam facebook beliau 31 Januari lepas. Artikel ini pertama disiarkan portal Malaysia Dateline [pautan SINI]
1MDB Free Malaysia Today Google News Tag Jho Low Malaysiakini BM Politik Sinar Online Tommy Thomas