Pesta liar, 16 termasuk 5 bawah umur ditahan polis

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:41 PG
 

Pesta atau parti liar, siasatan mendapati mereka menyewa apartmen untuk tiga hari dua malam dengan bayaran RM360 untuk menjadikan tempat berhibur dan menghisap dadah bagi mengelak dikesan polis. - Foto FMT

BUTTERWORTH: Polis menahan 16 individu termasuk tujuh perempuan yang sedang berhibur dan disyaki mengambil dadah dalam satu parti liar di sebuah unit rumah pangsa yang disewa kumpulan itu di Jalan Assumption, awal pagi tadi.

Ketua Polis Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor, berkata polis menyerbu unit rumah pangsa itu pada 1.30 pagi dan semua mereka berusia 15 hingga 21 tahun termasuk lima orang yang masih bawah umur sedang berhibur, dengan mengubah suai rumah berkenaan menjadi “pusat hiburan”.

“Semasa serbuan itu, semua mereka sedang berhibur serta dalam keadaan lalok (khayal) dipercayai bawah pengaruh dadah dengan memasang muzik yang kuat dan lengkap dengan ‘lampu disko’ (lampu warna warni).”

Siasatan mendapati mereka menyewa rumah pangsa itu tiga hari dua malam dengan bayaran RM360 untuk dijadikan tempat berhibur dan menghisap dadah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, terutama ketika pelaksanaan (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah antaranya ketamin dan syabu, alat menghisap dadah, unit lampu LED, mikrofon, serta pembesar suara.

Noorzainy berkata, hasil ujian air kencing mendapati 15 daripada mereka positif dadah, termasuk seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang masih bersekolah, dan tiga daripada suspek lelaki turut mempunyai rekod jenayah termasuk dadah.

“Daripada lima remaja bawah umur termasuk tiga wanita yang ditahan itu, hanya seorang sahaja masih bersekolah di tingkatan tiga manakala yang lain telah berhenti sekolah. Mereka yang ditahan kebanyakannya bekerja sendiri, kilang, kedai telefon bimbit serta menganggur,” katanya.

Siasatan juga mendapati kumpulan itu mengutip wang antara mereka untuk membayar sewa unit rumah pangsa itu dan membeli dadah untuk berhibur di situ selama tiga hari.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Seksyen 15(1)(a) serta 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA