Ibu kandung, bapa tiri Amir didakwa atas tuduhan bunuh, dera

Ana Ghoib Syeikh Malaya 5:44 PG
Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi dipercayai mati akibat dibunuh atau didera ibu kandung dan bapa tiri. - Foto OhMedia

Ibu kandung dan bapa tiri kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun yang ditemui lemas dalam tong air di Krubong, Melaka akan dihadapkan ke mahkamah Ayer Keroh esok.

Jenazah Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7, dipercayai menjadi mangsa penderaan pasangan tersebut.

Ibu kanak-kanak yang berusia 32 tahun itu serta bapa tirinya ditahan dan direman sejak 30 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua tertuduh akan dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan membunuh dan mendera kanak-kanak itu.

“Ketika ini kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan kedua-dua suspek ini akan dituduh di Mahkamah Ayer Keroh pada esok.

“Mereka ini akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera anak mereka ini,” katanya.

Kanak-kanak tersebut ditemui meninggal dunia di kediamannya di Taman Krubong Jaya, Paya Rumput, Jasin, Melaka dalam sebuah tong air berketinggian 60.9 sentimeter kira-kira jam 4 petang pada 29 Januari lepas.

Hasil siasatan polis mendapati, pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa menemui kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan mayat kanak-kanak itu.

Hasil bedah siasat mendapati, banyak kesan lebam dan beberapa kecederaan lama serta baharu di badan kanak-kanak terbabit.

Selain itu, ada kesan luka kecil sepanjang tiga sentimeter di belakang kepala dipercayai baru berlaku terhadap mangsa.

KLIK BACA: "Penjenayah dukung kerajaan PN" punca rasuah, kata Tun Mahathir

KLIK BACA: Derhaka paling dahsyat kerajaan sengaja 'leka' lanjut darurat PKP, kata Najib