Syed Ali Al Habshee menyarankan kerajaan henti setiap hari umum jumlah kes Covid-19 di televisyen - Foto Malaysiakini |
Syed Ali Al-Habshee menyarankan agar kerajaan segera menghentikan pengumuman harian mengenai jumlah jangkitan kes COVID-19 di televisyen kerana ia hanya menambahkan lagi kegusaran rakyat.
Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee menegaskan, tiada sebarang justifikasi untuk pengumuman itu dipaparkan di kaca televisyen sedangkan jumlah kes semakin meningkat malah tiada sebarang petunjuk penurunan.
"Ia seolah-olah memberi gambaran kerajaan telah gagal menangani isu ini. Saya berpendapat adalah lebih baik jika kerajaan menumpukan keutamaan mengatasi isu kemiskinan dan kesusahan yang sedang dihadapi rakyat serta memikirkan bagaimana usaha untuk mengatasinya secara lebih berkesan dan menyeluruh akibat penularan COVID-19," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya, pada Selasa.
Kes baharu COVID-19 akhir-akhir ini ada mencatatkan angka melebihi 5,000 kes, malah ratusan lagi sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan angka tetap tinggi bagi mereka yang memerlukan bantuan pernafasan.
Syed Ali, kerajaan juga diminta mengkaji semula larangan mengerjakan solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan surau.
Jelasnya, ia penting memandangkan ramai umat Islam amat kecewa dengan pelbagai sekatan dikenakan terhadap mereka terutama untuk menunaikan solat Jumaat.
"Saya juga terkilan apabila masjid dan surau dihadkan kepada jemaah tertentu dengan jumlah begitu terhad yang menunjukkan seolah-olah rumah ibadat ini kelihatan seperti berbahaya untuk dikunjungi.
"Saya bimbang, apabila jumlah kehadiran jemaah yang disekat dengan bilangan tertentu akan menyebabkan tercetus fenomena baharu di mana ada yang akan sengaja meninggalkan solat Jumaat dengan alasan COVID-19.
"Jika gejala ini berterusan, lama-kelamaan ia menjadi kelaziman baharu dalam masyarakat Islam di negara ini dan akhirnya masjid dan surau terbiar sepi tanpa sebarang aktiviti keagamaan," katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hanya ahli jawatankuasa masjid atau rumah ibadat dibenarkan hadir di negeri yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan jumlah maksimum lima orang.
KLIK BACA: Derhaka paling dahsyat kerajaan sengaja 'leka' lanjut darurat PKP, kata Najib
KLIK BACA: Peguam Negara Tommy Thomas LETIH selesai kes 1MDB, Jho Low, Najib, Equnimity.