Memoir Tommy karut menghina, kata Takiyuddin Menteri JPM

Ana Ghoib Syeikh Malaya 7:52 PTG
Menteri JPM Takiyuddin Hassan dan Tommy Thomas - Foto Malaysiakini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan menyifatkan buku memoir bekas peguam negara Tommy Thomas “My Story: Justice in the Wilderness” sebagai 'karut dan menghina'.

“Setelah meneliti kandungan dan intipati buku tersebut secara tekun, saya turut terkesan dan merasakan banyak aspek dalam buku tersebut yang ‘karut’ terutama sekali yang menyentuh soal akauntabiliti, ketelusan dan keadilan pegawai undang-undang yang bertugas di jabatan peguam negara (AGC) dan juga di mahkamah di seluruh pelusuk negara.

“Sebagai seorang bekas pegawai undang-undang di mahkamah ketika permulaan kerjaya saya dalam bidang perundangan di tahun 1980an dulu dan juga ahli persatuan pegawai perkhidmatan kehakiman dan undang-undang (Jalsoa), saya amat percaya bahawa setiap pegawai undang-undang yang berkhidmat akan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip utama undang-undang.

“Dengan berpegang kepada prinsip tersebut, kita akan sentiasa bertindak dalam ruang lingkup undang-undang, bebas dari sebarang pengaruh, dorongan, tekanan, ancaman atau gangguan, sama ada secara langsung atau tidak langsung daripada mana-mana pihak yang menjurus ke arah menjejaskan integriti dan tugasan pegawai undang-undang,” katanya pada satu kenyataan media hari ini.

Buku Thomas menerima kritikan setelah didakwa mendedahkan krisis dalaman yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) serta bagaimana sistem perundangan negara beroperasi.

Pihak berkuasa kini menyiasat Thomas atas tuduhan menghina susulan laporan polis yang dikemukakan oleh bekas peguam cara III Mohamad Hanafiah Zakaria dan bekas peguam negara Apandi Ali.

Meskipun Peguam Negara Idris Harun menyifatkan memoirnya tersebut sebagai menghina institusi perundangan, Thomas memilih untuk berdiam diri selepas berdepan kritikan tersebut.

KLIK BACA: Nazir Razak kesal Tommy dakwa pemuda melayu bawa parang keris punca 13 Mei