Seramai 10 pesakit Covid-19 meninggal dunia di rumah pada minggu lalu sebelum sempat mendapatkan rawatan di hospital.
Pesakit paling muda membabitkan seorang gadis berusia 18 tahun yang meninggal dunia sebelum sempat tiba di Hospital Selayang, Selangor.Kematiannya dilapor oleh Kementerian Kesihatan dalam statistik harian yang dikeluarkan semalam.
Berdasarkan semakan Malaysiakini, seramai 22 orang yang dijangkiti Covid-19 meninggal dunia sebelum sempat mendapatkan rawatan pada Disember tahun lalu. Manakala 41 orang lagi meninggal dunia pada Januari tahun ini.
Ini bermakna sejak Disember, seramai 73 daripada 512 kematian direkodkan berlaku sebelum tiba di hospital.
Awal bulan lalu, Menteri Kesihatan Adham Baba memaklumkan bahawa pesakit Covid-19 yang memiliki gejala ringan atau tidak memiliki gejala, dibenarkan menjalani rawatan di rumah.
Ini bermaksud tidak ada pakar kesihatan boleh memantau sekiranya keadaan pesakit Covid-19 bertambah buruk.
Situasi ini berlaku di tengah-tengah peningkatan kes Covid-19, yang memaksa Kementerian Kesihatan (KKM) memilih pesakit yang harus diberi keutamaan untuk dirawat di hospital.
Pada 27 Jan, seorang pegawai polis yang dijangkiti Covid-19 meninggal dunia ketika menjalani kuarantin di rumah. Dia meninggal pada hari keenam ketika menjalani kuarantin.
Kematian di rumah menunjukkan betapa pentingnya Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), yang telah ditubuhkan oleh kerajaan di setiap daerah.
Salah satu CAC terbesar adalah di Stadium Malawati di Shah Alam, yang boleh menampung sehingga 1,500 pesakit sehari.
CAC ditugaskan untuk menilai sama ada pesakit Covid-19 harus dimasukkan ke hospital, dihantar ke pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) atau dibenarkan menjalani pemulihan di rumah.
Secara umumnya, pesakit yang memerlukan rawatan yang lebih serius akan dihantar ke hospital, manakala mereka yang berisiko rendah tetapi masih memerlukan pemantauan akan dihantar ke PKRC.
Kementerian Kesihatan juga menasihati pesakit Covid-19 yang dibenarkan menjalani kuarantin di rumah supaya melaporkan keadaan mereka secara berkala melalui aplikasi MySejahtera.
Mereka juga harus mendapatkan rawatan segera sekiranya keadaan bertambah buruk.
Setakat ini, pesakit Covid-19 paling muda yang meninggal dunia melibatkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Hospital Lahad Datu.
Remaja berkenaan yang mempunyai penyakit lain sebelum itu dilaporkan meninggal dunia pada 24 Disember.
Majoriti pesakit Covid-19 yang meninggal dunia kebanyakannya berumur melebihi 40 tahun.
Namun, sejak Januari, terdapat peningkatan jumlah pesakit Covid-19 yang lebih muda meninggal dunia. - MalaysiaKini