Pemuda jadi 'Badut' cari makan hantar makanan - 'Speed de Clown'.

Ana Ghoib Syeikh Malaya 4:30 PG
Mohd Fahmi mengenakan kostum badut ketika menghantar makanan kepada pelanggan. - Foto NSTP/Nazri Abu Bakar

MELAKA: "Biarpun berpeluh, panas, rimas dan penat, namun saya lakukan kerja ini semata-mata untuk sesuap nasi.

"Ini kerana, kerjaya sebagai badut sekarang hampir lenyap susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," kata Mohd Fahmi Mohamad Nadzri, 29, yang menjadi penghantar barang atau 'runner' menggunakan kostum badut.

Beliau berkata, pendekatan yang digunakan itu bagi membolehkan dirinya menjadi pilihan pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan runner setiap hari selepas kerjaya sebagai badut tidak boleh dilakukan susulan pandemik COVID-19.

"Tiada majlis sambutan hari jadi, perayaan dan keramaian menyebabkan aktiviti dan persembahan sebagai badut tidak dapat dilakukan lagi.

"Jadi, saya kini menumpukan kerja sebagai runner makanan sejak minggu lalu bagi menampung bayaran sewa rumah, ansuran bulanan kereta dan perbelanjaan harian keluarga," katanya yang mengenakan kostum badut dikenali 'Speed de Clown'.

Mohd Fahmi berkata, jiwa dalam kerjaya badut sudah sebati dalam dirinya sejak lebih 10 tahun lalu menyebabkan dia enggan melihat kostum itu tergantung begitu saja.

"Malah, dengan cara ini saya dapat melepaskan kerinduan untuk kembali aktif dan pada masa sama menambah kemahiran mengadakan persembahan ketika berkesempatan di lokasi penghantaran dengan kereta.

"Saya amat bersyukur kerana sambutan diterima amat menggalakkan daripada pelanggan menerusi penampilan baharu yang mengekalkan konsep badut," katanya.

Mohd Fahmi juga mengakui tidak mampu membayar sewa rumah dan ansuran kereta ketika PKP tahun lalu kerana kehilangan pendapatan kira-kira RM5,000 sebulan untuk menyara isteri yang tidak bekerja dan seorang anak berusia enam bulan. - BH Online