Seramai 204 petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam dijangkiti Covid-19 selepas ujian saringan beramai-ramai dibuat ke atas kesemua petugas di situ pada 10 Julai.
Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Khairy Jamaluddin, mereka yang hadir mendapatkan vaksinasi di IDCC pada 9, 10, 11 dan 12 Julai diminta melaksanakan kawalan kendiri selama 10 hari.
Menurut Khairy, 88 peratus atau 400 daripada 453 petugas di IDCC sudah divaksinasi, sementara 12 peratus lagi belum.
“Saya telah mengarahkan supaya satu ujian saringan Covid-19 beramai-ramai ke atas petugas di IDCC dibuat sebaik sahaja kami mendapat laporan mengenai dua sukarelawan yang disahkan positif.
“Ujian ini telah dijalankan pada 10 Julai 2021 melibatkan kesemua petugas.
"Susulan langkah ini, setakat ini, sebanyak 204 petugas telah didapati positif,” katanya dalam satu sidang media mengenai penutupan PPV IDCC hari ini.
Punca belum dikenal pasti
Ditanya mengenai punca jangkitan 204 petugas tersebut, Khairy yang juga merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovatif berkata ia masih belum dikenal pasti memandangkan kes di Selangor terlalu tinggi.
“Kita tak pasti daripada 204 kes, siapa yang berjangkit di IDCC dan berjangkit di luar kerana kes insiden di Selangor terlalu tinggi.
“Tetapi berita yang sedikit baik ialah load virus yang rendah. Ini juga mungkin sebahagian besar daripada mereka telah divaksinasi,” katanya.
Mengulas lanjut perkara itu, dia berkata setakat ini, petugas-petugas yang dijangkiti itu tidak menunjukkan gejala-gejala yang serius.
PPV IDCC ditutup bermula hari ini (13 Jun) selama sehari untuk proses sanitasi.
Dia turut memberi jaminan bahawa orang ramai selamat untuk datang ke temu janji mereka pada hari seterusnya.
“Ini merupakan pertama kali kita perlu menutup PPV disebabkan kes positif (Covid-19). Tetapi kami bertinndak dengan cepat dengan menutupnya hari ini dan mengambil langkah pencegahan dengan menukar petugas-petugas di PPV tersebut, mensanitasi PPV.
“Kami harap ia (penutupan) hanya sehari dan ia tidak akan mengganggu proses vaksinasi,” katanya.
Asing dan tukar petugas
Bagaimanapun, katanya untuk mengelakkan perkara sama berlaku di PPV lain, pihaknya akan mendapatkan maklumat untuk melakukan pengesanan kontak yang menunjukkan terdapat PPC berisiko tinggi untuk menjadi kluster.
“Maka saya akan mengarahkan ujian saringan diadakan PPV tersebut,” katanya.
Petugas Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) juga diarahkan membantu mereka yang tidak sedar PPV itu ditutup.
Mereka yang hadir akan diberikan tarikh baru. Makluman juga akan dibuat melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan media sosial.
“Kesemua mereka sudah pun mendapat tarikh janji temu baru,” katanya.
Khary berkata petugas IDCC sedia ada akan ditukar dengan pasukan baharu sebagai langkah berjaga-jaga agar potensi untuk jangkitan dapat dikurangkan.
Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) juga diarahkan melakukan pemantauan kualiti pengudaraan di PPV IDCC.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, CITF menyarankan kepada mereka yang telah hadir bagi vaksinasi di IDCC pada 9 Julai daripada pukul empat petang untuk memantau gejala selama 10 hari,” katanya.
Sumber: Malaysiakini