Polis cuba tangkap ketua kongsi gelap dari China

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:12 PTG
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador - Foto Sinar Harian

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berusaha mengesan dan menahan ketua kongsi gelap dari China, Wan Kuok Koi sekiranya benar individu itu berada di dalam negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Kuok Koi dikesan pernah berada di Malaysia pada tahun 2019 dan tahun lalu atas urusan perniagaan.

"Namun, setelah satu laporan dibuat terhadapnya atas dakwaan penipuan wang RM6 juta, dia terus menghilangkan diri.

"Kita akan usaha untuk kesan dan tangkap dia sekiranya dia dikesan berada di sini.

"Salah satu rekod yang dikesan dia (Kuok Koi) keluar dari Malaysia untuk ke Hong Kong pada 18 Mac tahun lalu," katanya, lapor Sinar Online.

Tambahnya, selain itu, PDRM juga sedang dalam proses mendaftarkan namanya dalam senarai notis merah Polis Antarabangsa (Interpol).

Sebelum ini, sebuah portal tempatan yang memetik kenyataan The Straits Times di Singapura melaporkan Kuok Koi, dipercayai bersembunyi dan meneruskan operasinya di Malaysia.

Gangster berusia 65 tahun, yang lebih dikenali sebagai ‘Broken Tooth’, dipercayai dikehendaki PDRM sejak 16 Oktober tahun lepas atas dakwaan gangsterisme dan penipuan berjumlah RM6 juta.

Kuok Koi sebelum ini menjalani hukuman penjara 14 tahun di Macau setelah disabitkan kesalahan along, pengubahan wang haram dan mengetuai kumpulan penjenayah sebelum dibebaskan pada 2012.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat mendakwa Kuok Koi telah mengetuai kumpulan kongsi gelap 14K dan terlibat dalam pengedaran dadah, perjudian haram, pemerasan, pemerdagangan manusia dan kegiatan jenayah lain.

KLIK BACA: Syed Saddiq MUDA desak kecil kabinet membazir, Adham Baba letak jawatan serah kepada penjawat awam jaga KKM Covid-19 naik