Azmin 'ragu status' pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong terhadap Anwar

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2:34 PG
Azmin dan Anwar dizaman bersama PKR - Foto Dr Afif Bahardin Twitter

Azmin Ali mendakwa hilang kepercayaan terhadap Anwar Ibrahim merupakan salah satu sebab beliau meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin.

Menurut Malaysiakini perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali dalam pernyataan pembelaan berhubung saman yang difailkan 10 pengundi Gombak terhadapnya.

Azmin dipetik Malaysiakini berkata, 'amalan seksual yang tidak bermoral' dilakukan Anwar menjadi punca dia hilang kepercayaan terhadap presiden PKR itu.

Pernyataan pembelaan yang difailkan melalui firma guamannya Tetuan Zharid Nizamuddin, Azmin berkata Anwar langsung tidak berkelayakan dan bukan seorang yang sesuai untuk memimpin PKR serta menjadi perdana menteri Malaysia.

"Dakwaan ini disokong oleh beberapa dakwaan kukuh berhubung perlakuan dan/atau amalan seksual Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang tidak bermoral sebagai seorang beragama Islam, khususnya semenjak DSAI kembali menjadi presiden PKR dan telah bebas untuk bergerak," katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Azmin merujuk dua kes membabitkan tuduhan dibuat oleh Mohammed Yusoff Rawther mengenai serangan seksual dilakukan Anwar dan tuduhan yang sama dibuat oleh individu bernama Aidil Azim Abu Adam.

Anwar bagaimanapun menafikan melakukan sebarang salah laku seksual.

Untuk rekod, Azmin pada 2019 juga terpalit dengan skandal seks luar tabie apabila video yang memaparkan individu mirip wajarnya tersebar.

Namun dia menafikan tuduhan berkenaan sebagai usaha menjatuhkan karier politiknya dalam PKR.

Azmin dalam pernyataan pembelaannya juga berkata dia meragui status pengampunan penuh yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap Anwar.

Anwar dipenjarakan pada tahun 2015 atas dakwaan meliwat bekas pembantunya tetapi diberi pengampunan selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum 2018.

Azmin yang juga menteri perdagangan, antarabangsa dan industri juga menafikan dakwaan bahawa dia gagal menunaikan janji pilihan raya terhadap pengundi di kawasan Gombak.

KLIK BACA: Ayob Khan saran Pencen Seringgit terhadap polis didakwa rasuah diperkenal semula

KLIK BACA: MP Hassan Karim gesa Muhyiddin, Kabinet letak jawatan, senaraikan 4 kegagalan PN 

DIKEMASKINI: Ibu Yati jawab Nasruddin, Minta maaf atau saman kamu dan Yadim

KLIK BACA: Najib Sedih, Persoal Anggota Polis Meninggal Dunia Covid Dibiarkan Kuarantin Di Rumah