Zaman Dr Mahathir lagi pemimpin Umno kaya raya - Isham Jalil

Ana Ghoib Syeikh Malaya 5:13 PTG
Isham Jalil bekas setiausaha politik Najib tidak mendapat tempat dalam kabinet Muhyiddin - Foto FMT

Dakwaan seorang Felo Majlis Profesor Negara, bahawa 99 peratus daripada Ketua Pemuda UMNO Bahagian adalah jutawan, merupakan tuduhan dangkal yang sengaja hendak menjatuhkan maruah parti terbesar orang Melayu.

Portal Malaysia Gazette melaporkan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil menegaskan, tuduhan yang dilemparkan Dr. Muhammad Asri Mohd Ali itu bersifat provokasi untuk menunjukkan UMNO kini kononnya tiada integriti, mengamalkan politik wang dan rasuah masih berleluasa.

Isham menyifatkan, kajian yang dilakukan felo berkenaan bukan di era Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memegang jawatan Presiden UMNO.

Menurut beliau, kajian itu adalah pada tahun 2002 atau 19 tahun lalu, yang mana ketika itu zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dan pada masa sama mengetuai UMNO selama lebih dua dekad.

“Kelmarin, dalam satu video call dengan Ketua Pemuda UMNO, seorang profesor telah sengaja membuat kenyataan provokasi dengan menyatakan mengikut kajiannya 99 peratus daripada Ketua Bahagian UMNO adalah jutawan.

“Bukan sesuatu yang mengejutkan jika politik wang berleluasa pada ketika era Dr. Mahathir walaupun beliau bertegas menentang politik wang, tetapi hakikatnya dialah yang membentuk sistem politik wang di Malaysia.

“Sebelum Dr. Mahathir, ketika zaman (Allahyarham) Tunku Abdul Rahman sehinggalah kepada (Allahyarham) Tun Hussein Onn, politik wang tidak galak berlaku,” katanya dalam kenyataan yanbg dipetik MalaysiaGazette.

Dalam Forum Vurtual Bicara Anak Muda: Masa Depan Malaysia ke Mana Kita, pada Rabu lalu, Dr. Muhammad Asri selaku moderator menyatakan kajiannya mengenai taraf hidup Ketua-ketua UMNO Bahagian, yang boleh dikatakan bergelar jutawan.

Mengulas lanjut, Isham menjelaskan, jika benar kajian dibuat Dr. Muhammad Asri pada tahun 2002, beliau pasti sebahagian besar daripada pengikut tegar yang kaya raya ketika zaman Dr. Mahathir itu bukan lagi dalam UMNO kini.

Katanya, besar kemungkinan kini mereka berada dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) atau menyokong kuat dua parti berkenaan.

“Oleh itu, soalan profesor ini sepatutnya dituju kepada Dr. Mahathir dan konconya dalam Bersatu atau Pejuang serta kroninya, bukan UMNO kini," tegas Isham.

Untuk rekod, dengan beberapa ketegasan dan ketelusan ditunjukkan pihak SPRM bertindak hari ini membuat beberapa ahli politik terutamanya dari parti Umno yang hidup diluar kemampuan tidak senang duduk dan mudah melenting bila dituduh kaya-raya. - MalaysiaStylo