Projek kerjasama antara Facebook dan Google serta syarikat telekomunikasi serantau melibatkan Singapura, Indonesia dan benua Amerika Utara.
Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak diikutsertakan dalam projek mega seperti ini disebabkan kebijakan kerajaan PN yang melarang kapal-kapal asing untuk melayani dan membaiki kabel dasar laut di Malaysia sebagaimana menurut Malaysia Internet Exchange.
“Kebijakan dan ‘strategi’ ini ternyata gagal, jika melihat bagaimana syarikat-syarikat gergasi digital ini mengelak dan menyisihkan Malaysia,” katanya.
Katanya, pada bulan November 2020 Menteri Pengangkutan sekarang telah membatalkan keputusan yang dibuat kerajaan Pakatan Harapan untuk memberi pengecualian pada kapal-kapal asing untuk menjalankan kerja ini.
“Beberapa syarikat teknologi langsung menyatakan ketidaksetujuan dengan langkah ini.
“Langkah kerajaan PN ini mewujudkan monopoli maya di mana Malaysia tidak mempunyai keupayaan untuk meningkatkan capaian telekomunikasi secara besar-besaran yang kini sangat diperlukan untuk membangunkan ekonomi digital.
“Saya menyatakan dukungan terhadap pembangunan keupayaan tempatan, terutamanya yang berkait dengan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Walaubagaimanapun, Anwar menentang monopoli di mana ia akan menutup persaingan dan memberi kesan pada keupayaan negara dalam memacu transformasi digital.
Jelasnya, kebijakan kerajaan terkait isu kabotaj memberi dampak yang amat negatif pada negara, dan meletakkan negara ini dalam keadaan yang lemah, termasuk aspek keselamatan negara.
“Dasar dan kebijakan pemerintah saat ini sangat tidak produktif dan lemah, dan ia akan terus memberi dampak buruk pada ekonomi dan kebersaingan.
“Pendekatan yang tidak ortodoks dalam membina capaian 5G berkemungkinan akan mengalami masalah yang sama dalam hal terkait pelaburan asing,” katanya.
Tidak dinafikan katanya, gejala wabak COVID-19 telah menyebabkan penurunan mutu capaian internet di Malaysia tatkala kadar penggunaannya terus melonjak naik di pelbagai sektor.
Berita seperti ini ternyata katanya sesuatu yang membimbangkan, dan ia adalah kehilangan besar pada negara dan juga memberi kesan pada keupayaan kita dalam mendukung pendigitalan pesat ekonomi kita.
“Rakyat Malaysia akan membayar harga yang tinggi dengan kadar kelajuan yang rendah. Ada beberapa laporan menunjukkan bahawa kehilangan peluang besar seperti ini akan memberi kesan negatif pada KDNK, sekurang-kurangnya 6.9%,” katanya.
Baru-baru ini Facebook mengumumkan kerjasama bersama Google serta syarikat telekomunikasi serantau dengan membangunkan dua kabel dasar laut iaitu Echo dan Bifrost bagi meningkatkan keupayaan capaian internet antara Singapura, Indonesia dan benua Amerika Utara.
Sumber - Malaysia Dateline
Anwar Ibrahim Bisnes Free Malaysia Today Malaysiakini BM Politik Tan Sri Muhyiddin Yassin