Ikan pemangsa 'bahaya' terlepas ke Sg Perak akibat sangkar pecah

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1:02 PTG
Ikan baung merah berbahaya kepada ekosistem sungai, selain berisiko kepada sumber sungai, menurut Pengarah Perikanan Perak Zaki Mokri. (Gambar Facebook)

IPOH: Insiden ratusan sangkar sebuah syarikat penternakan ikan di Teluk Intan yang pecah sehingga menyebabkan beberapa spesies terlepas ke Sungai Perak Isnin, disyaki turut melibatkan ikan pemangsa yang diternak tanpa permit.

Pengarah Perikanan Perak Zaki Mokri berkata, pihaknya menjalankan siasatan selepas mengesyaki ikan baung ekor merah yang tidak dibenarkan diternak di dalam sangkar di negara ini, turut terlepas menerusi rakaman video yang tular di tempat kejadian.

“Pengusaha penternakan ikan itu memberitahu sebanyak 30 metrik tan ikan baung ekor merah telah terlepas bersama ternakan ikan lain, dan sebahagiannya mati apabila sangkar rosak,” kata beliau, ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata susulan itu, pihaknya telah membuat pemantauan di lokasi terbabit bersama kerajaan negeri bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Pengusaha ini telah menternak ikan sudah hampir 20 tahun, dan insiden dipercayai berlaku apabila tali yang mengikat sangkar putus dan sangkar kemudian hanyut serta rosak.

“Sampah yang banyak telah melanggar sangkar, menyebabkan tali penambat sangkar terputus dan menyebabkan sebanyak 250 petak sangkar ikan (daripada 300 petak) hanyut, menyebabkan banyak ikan mati terperangkap dalam sangkar, manakala sebahagian lagi terlepas,” kata beliau.

Justeru, beliau berharap ikan-ikan yang diternak secara haram itu dapat ditangkap oleh nelayan darat atau pemancing di kawasan sungai berkenaan, kerana dibimbangi akan membiak.

Ikan-ikan itu berbahaya kepada ekosistem sungai, selain berisiko kepada sumber sungai, kata beliau.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, penternak ikan dalam sangkar mendakwa mengalami kerugian hampir RM7 juta, selepas sangkar ternakan pecah dan dihanyutkan arus deras di Sungai Perak dipercayai akibat perbuatan khianat.

Antara ikan yang diternaknya adalah ikan tilapia, patin, jelawat, jelai dan baung, yang turut didakwa telah diambil orang ramai yang menaiki bot di kawasan berhampiran.

- BERNAMA