Formula kemenangan PH menerusi perpecahan dalam PN - Guan Eng

Ana Ghoib Syeikh Malaya 11:55 PTG
Menurut Guan Eng, DAP tidak gusar melihat keakraban politik antara Pas dan UMNO. - Foto Bernama

Formula kemenangan Pakatan Harapan (PH) boleh dicapai dengan perpecahan yang berlaku dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Astro AWANI melaporkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata demikian, ketika berucap pada Konvensyen Biasa DAP Negeri Pahang, di Bentong pada Ahad lepas.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, PH dan DAP harus merangka formula kemenangan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Kita harus menyatukan semua rakyat Malaysia yang mahu mempertahankan demokrasi berparlimen dan menghentikan PN daripada menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang gagal,” katanya.

Ujarnya, perpecahan terbuka di antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin buruk sehingga kedua-dua parti saling mencabar untuk bertanding di kesemua 222 kerusi Parlimen.

Sementara itu ketika ditemui pemberita selepas merasmikan konvensyen berkenaan, Guan Eng turut menyeru ahli-ahli PH supaya terus bersatu.

"Sama ada mereka akrab atau tidak, sama ada akrab atau sebaliknya, sama ada mereka pecah atau sebaliknya, ini ialah masalah keluarga mereka.

"Kita (PH) kena bersatu, kalau kita terus bersatu saya rasa peluang Pakatan Harapan (kembali memerintah) masih ada," tegasnya.

Mengulas lanjut mengenai slogan 'No DAP dan NO Anwar', Guan Eng berkata, ia bukanlah sesuatu mengejutkan kerana kini parti Bersatu pula dikritik malah terdapat segelintir pemimpin UMNO terang-terangan menolak parti pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

"Sekarang tambah (satu lagi) No Bersatu. Ini yang sekarang dilihat mereka lebih menumpukan perhatian (kritik) Bersatu. 

"Tengoklah dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU2020) kebanyakan masa sasarannya adalah parti Bersatu. Itu masalah keluarga mereka, saya tidak mahu campur tangan," katanya.