Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin rakyat lebih bijak menilai tindak tanduk Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Azmin Ali.
“Saya ini tiada personal sangat, kalau tengok kenyataan yang mana dia serang saya berulang kali, saya tak jawab pun,
“ Sebab saya nak fikir lebih baik kita tumpu kepada rakyat, sebab kita tak boleh perbodohkan rakyat. Orang boleh nilai. Jadi biar rakyat yang hukum, tapi bagi saya kembali kepada landasan,” katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia yang dilapor Utusan Online.
Dalam pada itu, Anwar turut mengakui tempoh di penjara yang amat lama membuatkan beliau terbatas untuk mengawal pergerakan politik beberapa pihak.
“Namun saya akui kelemahan saya untuk mengawal, kerana masa itu saya masih dipenjarakan.
“Masa penjara, orang di luar bina kekuatan, bina kekayaan dan SPRM masa PH itu dia tak nampak, kerana mereka hanya tumpu kepada UMNO dan 1MDB. Jadi yang gajah depan mata itu semua ditolak.
“Tapi rakyat tahu menteri-menteri yang kumpul kekayaan melalui projek-projek besar, serta cara belanja yang mewah. Itu bertentangan dengan prinsip PKR dan PH.
"Jadi bagi saya, dia dah pilih, biarkan. Kita tumpu perhatian kukuhkan parti, dan belajar daripada pengalaman kita. Jangan mudah percaya orang yang beri janji dan bermuka-muka,” tegasnya dalam wawancara tersebut seperti dilapor Utusan Online.
Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar turut berkata, tindakan lompat parti itu mengkhianati amanah yang diberikan oleh pengundi, dan menyifatkannya sebagai langkah yang akan makan diri kerana ‘pengkhianat tidak akan menang’.
Anwar mendakwa, setakat ini belum pernah mana-mana individu yang digelar ‘pengkhianat’ – yang merujuk kepada politikus lompat parti – pernah memenangi sebarang pilihan raya, malah mendakwa semua mereka kalah teruk.
“Saya berdoa agar yang khianat itu terus merudum,
“Orang yang khianat ini tidak akan menang. Adakah yang khianat boleh menang? Belum ada, kalah teruk semua.
Pengalaman kita dari 2004, yang khianat itu semua merudum. Sebaik sahaja dia khianat pengundi akan menghukum,” katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia tersebut.
Anwar turut menggesa agar perbahasan mengenai Akta Lompat Parti dibuat segera demi memastikan satu peruntukan undang-undang dapat dikuatkuasa bagi menangani isu itu.
Anwar Ibrahim Azmin Ali Free Malaysia Today Google News Tag Malaysiakini BM PKR Politik Sinar Harian