Adibah Noor ajar Rina Harun sebut bahasa Inggeris yang betul

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:45 PG
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun dilihat kekok memberi ucapan dalam bahasa Inggeris menerusi satu persidangan secara maya baru-baru ini.

Datuk Seri Rina Mohd Harun yang kelihatan kekok ketika berucap dalam persidangan Suruhanjaya Pembangunan Sosial (CSocD59), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Sesi ke-59, disedari oleh pelakon dan penyanyi Adibah Noor yang mengambil inisiatif memperbetulkan sebutan Rina.

Malaysiakini melaporkan menerusi Twitter, Adibah memuat naik klip video cara sebutan yang betul bertujuan untuk berkongsi ilmu dengan pengikutnya di laman tersebut.

“Saya akui, penulis skrip (ucapan Rina) sangat bagus dan saya harap saya dapat membacanya sendiri.

“Apa-apa pun, mari kita belajar menyebut perkataan ini, 'doubt' (keraguan). Saya dah pernah buat video tentang ini tapi mungkin anda dah lupa.

“Jadi cara nak sebutnya (doubt) hilangkan bunyi ‘b’ bukan, dup, daob, dib tapi d-out,” ciapnya beserta tanda pagar #Pronunciation, #BetulkanYangBiasa dan #BiasakanYangBetul.

Perkongsian penyanyi lagu Terlalu Istimewa, itu menerima lebih 19,000 ulang ciap dan hampir 14,000 tanda suka.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga Masyarakat (KPWKM) yang diterajui menterinya Rina Harun terus dihujani kritikan dari pelbagai pihak di saat masyarakat berhadapan dengan kes jenayah seksual terhadap wanita dan kes penderaan kanak-kanak yang meningkat dalam tempoh pandemik.

Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR, Fadhlina Sidek menyifatkan gambar sensasi Menteri Datuk Seri Rina Harun yang menggayakan busana di pejabat menteri di Putrajaya adalah keterlaluan.

Fadhlina Sidek dipetik Malaysia Dateline berkata, sebagai kementerian utama yang menganani isu-isu kebajikan rakyat dalam tempoh pandemik, imej KPWKM sepatutnya dilihat sebagai kementerian barisan hadapan (frontliner) dan bukannya menjadi “front cover” yang memaparkan foto-foto sensasi Menteri KPWKM.

“Saya mendokong penuh semua aktiviti yang memaparkan gaya hidup sihat dan kesejahteraan mental dalam usaha melestarikan tauladan kehidupan yang sihat dan sejahtera terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Oleh itu, saya juga mengucapkan tahniah atas kejayaan peribadi Menteri yang telah berusaha membudayakan gaya hidup sihat,” katanya.

Tetapi dalam masa yang sama beliau mengingatkan Rina Harun bahawa kegagalan dan kelambatan pembentangan RUU Akta Gangguan Seksual yang sepatutnya berlaku di sesi sidang parlimen yang lepas telah mengakibatkan rakyat khususnya warga wanita masih terdedah kepada ancaman gangguan seksual tanpa perlindungan di sisi undang–undang.