Tran Thi Thoai Trinh, bersama suaminya Yeoh Wei Chong and anaknya Jasper semasa sambutan Tahun Baharu Cina pada Februari.
PETALING JAYA: Susulan insiden penahanan seorang wanita Vietnam kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, Kumpulan Sokongan Pasangan Asing (FSSG) menuduh pegawai kerajaan mentafsir dasar secara sewenang-wenang.
Kumpulan itu menyeru agar dasar berkenaan layanan terhadap ahli keluarga rakyat Malaysia yang terdiri daripada warga asing disemak semula.
Wanita Vietnam berusia 25 tahun, Tran Thi Thoai Trin, yang berkahwin dengan rakyat Malaysia dan mempunyai seorang anak lelaki, ditahan selama 11 hari kerana pihak berkuasa ingin mengesahkan dokumennya apabila beliau gagal menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mendaftar masuk ke sebuah restoran.
Kesalahan itu layak dikenakan kompaun, tetapi Tran ditahan di depot imigresen walaupun beliau memiliki visa kemasukan berganda yang membolehkannya tinggal di Malaysia hingga Januari depan.
Tran dibebaskan pada Selasa selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Klang dan membayar denda RM350.
Dalam kenyataan bersama dengan Family Frontiers, sebuah kumpulan yang mendukung hak kewarganegaraan setaraf jantina dan hak keluarga dwi-nasional dan transnasional di Malaysia, FSSG merakamkan kesedihan berkenaan “situasi yang menyakitkan” itu dan berharap agar penahanan “sewenang-wenangnya” dapat dihentikan.
Kenyataan itu, yang ditandatangani oleh pengasas bersama FSSG, Bina Ramanand, dan pengurus program Family Frontiers, Melinda Anne Sharlini, menyifatkan warga asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia sebagai golongan yang “lazimnya memberi sumbangan positif kepada ekonomi dan masyarakat Malaysia pada umumnya”.
“Perlu ada kejelasan dan ketelusan yang lebih tinggi dalam proses birokrasi agar tidak ada penafsiran dasar secara sewenang-wenang oleh pegawai,” katanya.
“Malangnya, ini tidak boleh dikatakan sebagai kes terpencil. Kita perlu ingat bahawa pasangan ini adalah ahli keluarga terdekat rakyat Malaysia dan mereka ditahan, direman, dikenakan notis Tidak Dibenarkan Mendarat (NTL) dan dihantar pulang semasa mendarat.
“Proses birokrasi untuk mendapatkan status sah di Malaysia juga menjauhkan pasangan profesional (dari negara ini) yang membawa nilai yang besar kepada negara melalui kemahiran mereka.
“Kita juga dapat mengutip cukai dan menikmati perbelanjaan mereka yang meningkat di negara ini.”
Peguam Tran, V Vemal Arasan berkata, wanita itu ditangkap pada 13 Mac setelah gagal merekod maklumatnya sebelum memasuki sebuah restoran.
Di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, individu yang gagal merekodkan maklumat sebelum memasuki premis boleh didenda hingga RM1,000 atau dipenjara enam bulan.
Kata Arasan, suami Tran bersedia membayar kompaun dan menyerahkan kepada polis dokumen asal yang diperlukan bagi membebaskan isterinya pada 13 Mac tetapi polis didakwa “menganggapnya palsu” dan ingin mengesahkannya.
Majistret membenarkan perintah reman 14 hari kepada polis Klang Utara untuk menahan Tran di bawah Akta Imigresen bagi mengesahkan dokumennya, iaitu keputusan yang menurut Vemal tidak perlu kerana ini boleh dilakukan “dalam masa beberapa jam”.
Bina dan Sharlini berkata, Tran sebaliknya boleh diminta melaporkan diri ke balai polis atau pejabat imigresen bersama dokumennya dalam tempoh tiga hari.
“Kita perlu dasar yang mesra keluarga,” kata mereka dalam kenyataan.
“Ya, memang ada perkahwinan palsu, tetapi Malaysia bukan satu-satunya negara dengan perkahwinan palsu. Itu bukan sebab untuk melayan semua orang seperti mereka terlibat dalam perkahwinan palsu.
“Negara lain mempunyai sistem untuk mengenal pasti perkahwinan palsu. (Cara) yang sama harus digunakan di sini bagi mengelakkan impak yang negatif dan tidak seimbang terhadap wanita dan kanak-kanak.”
Sumber: Free Malaysia Today