Faiz Fadzil bukan boss majikan sekalipun, saya tetap pertahankan

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3:33 PTG
oleh Muhammad Hamdi Md Noor

Saya yakin rakyat benci politik hari ini bukan disebabkan namanya politik tetapi rakyat membenci politik adalah hasil daripada tangan-tangan orang yang mencemarkan politik itu sendiri. Mereka berpolitik tidak berpaksikan nilai malah jauh sekali berdasarkan dosa dan pahala.

Oleh kerana itulah, mereka sanggup menjatuhkan pesaing-pesaing politik dengan melemparkan dakwaan, fitnah, pembohongan, dan sebagainya. Walaupun perkara-perkara ini adalah asam garam dalam dunia politik, namun jika kita masih terperangkap dengan perbuatan-perbuatan ini, politik kita tidak akan ke mana.

Ini termasuklah wujudnya dakwaan kepada YB Faiz Fadzil yang didakwa telah mencabul kehormatan seorang wanita. Beliau telah menafikan tuduhan tersebut dan tuduhan tersebut nyata tidak berasas. Mungkin akan ada yang skeptikal bahawa saya akan mempertahankan beliau kerana beliau ialah boss saya.

Saya ingin katakan, jika beliau bukan boss atau majikan saya sekalipun, saya tetap akan mempertahankan beliau. Malah saya berasa bangga untuk mempertahankan seorang yang saya yakin tidak bersalah kerana itu adalah prinsip saya.

Saya telah berkhidmat dengan YB Faiz sebelum PRU-14 lagi. Segala jadual, program, dan perjalanan beliau semua dalam poket saya malah menjadi rakan serumah. Jika anda melihat sendiri jadual hariannya, anda pasti akan menggelengkan kepala.

Bukan menggelengkan kepala disebabkan apa tetapi anda terkejut melihatkan padatnya jadual seharian beliau. Itu belum lagi dengan pelbagai sumbangan, bantuan, dan sebagainya yang telah dihulurkan beliau bagi membantu penduduk di Permatang Pasir. 

Disebabkan DUN ini dikategorikan sebagai DUN luar bandar, oleh sebab itulah beliau mahu berkhidmat dengan sebaik mungkin bagi mengeluarkan rakyat di DUN ini daripada kemiskinan dan kejahilan.

Itu belum lagi bercerita mengenai kehidupan beliau sebagai seorang peguam. Sebagai seorang pengamal undang-undang, saya tidak fikir beliau sanggup mengkhianati ilmu yang beliau telah pelajari selama ini. 

Passion beliau kepada dunia undang-undang ini luar biasa. Tanyalah kepada rakan-rakan beliau malah client-client beliau yang pernah menggunakan khidmat beliau. Semua tahu siapa YB Faiz Fadzil. Client beliau bukan hanya di Lembah Klang malah diseluruh Malaysia.

Beliau tahu jika beliau ingin hidup senang, beliau tidak perlu masuk ke dalam dunia politik. Kekal sahaja sebagai seorang peguam. Namun, demi meneruskan perjuangan ayahanda beliau iaitu Almarhum Ustaz Fadzil Noor dan juga mahu memperjuangkan demokrasi dan keadilan sosial di Malaysia, beliau mengambil keputusan untuk terlibat dalam dunia politik.

Namun, inilah dunia politik yang dipenuhi dengan musuh yang kita sendiri sedar atau tidak sedar. Apatah lagi dunia politik ini dipenuhi dengan pemain-pemain politik yang mementingkan matlamat walaupun menggunakan apa sahaja cara.

Walau apapun, kita serahkan kepada pihak polis. Mereka sedang menjalankan siasatan dan saya yakin beliau berada di pihak yang benar. Beliau juga tidak pernah takut dan gentar malah memberikan kerjasama yang amat baik kepada pihak polis. 

Beliau akan terus berkhidmat kepada rakyat di DUN Permatang Pasir seperti biasa. Perjuangan beliau tidak akan berhenti malah perkara yang berlaku ini akan menguatkan semangat beliau untuk melawan politik kotor, jijik, dan tidak bermaruah. 

Allah berfirman dalam Surah Al Ankabut ayat 2-3:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan sungguh, kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang berdusta.” Kepada Allah jualah kami berserah.

Penulis adalah Pegawai Khas ADUN Permatang Pasir Faiz Fadzil