Labi-labi seberat lebih 100 kilogram (kg) dan sepanjang kira-kira 0.5 meter itu ditangkap oleh kaki pancing yang ingin dikenali sebagai Pak Naq, 50, pada pukul 11 pagi.
Pak Naq berkata, dia tidak menyangka rutin hariannya keluar ke sungai mencari rezeki membuahkan hasil lumayan apabila haiwan tersebut memakan umpan udang yang dipasang pada mata kail.
Katanya, seperti biasa, dia keluar memancing seorang diri dengan perahu miliknya sebelum melabuhkan jorannya di hulu sungai yang terletak kira-kira 1km dari kampungnya.
“Tiba-tiba tali joran saya disentap kuat sehingga joran yang ada pada tangan saya hampir terlepas.
“Pada mulanya, saya menyangka ia merupakan seekor ikan besar, namun apabila diamati dari dekat, rupa-rupanya ia seekor labi-labi gergasi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menceritakan lanjut, Pak Naq memberitahu, labi-labi gergasi itu amat sukar untuk dijinakkan, malah beberapa kali menarik perahunya ke tengah sungai.
“Dengan sepenuh kudrat yang ada, saya terpaksa ‘bertarung’ selama lebih sejam untuk mendaratkan labi-labi ini sebelum menewaskan dan mengangkatnya ke atas perahu.
“Sebelum ini, saya pernah mendaratkan ikan tapah seberat antara 10 hingga 20kg di sungai ini, namun tangkapan kali ini amat mengejutkan dan menggemparkan penduduk setempat,” ujarnya.
Pak Naq berkata, buat masa ini, dia belum bercadang untuk menjual amfibia yang masih hidup itu dan mahu memeliharanya.
“Labi-labi ini boleh dijual pada harga mencecah RM2,000 berdasarkan beratnya jika mengikut harga pasaran,” katanya.
Pada 9 Februari lalu, seorang nelayan di Kampung Melango Lama di Saratok juga berjaya memancing seekor ikan labang seberat 18.1kg di Sungai Krian.
Hasil tangkapannya itu dijual pada harga RM1,100 seekor kepada seorang peniaga di Pasar Basah Saratok.