Wahai menteri mana rakyat nak cari RM5 ribu bayar kompaun lepas diskaun 50%

Ana Ghoib Syeikh Malaya 9:16 PG

Bukan rakyat yang salah faham, tetapi menteri yang salah faham kerana rakyat mahukan kerajaan memansuhkan kompaun RM10,000 dan bukannya diberi diskaun 50 peratus, kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.

Malaysia Dateline melaporkan YB Steven Sim merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan yang mengatakan bahawa rakyat salah faham berhubung denda RM10,000 yang dilaksanakan kerajaan.

Steven berkata, kerajaan jelas terburu-buru menaikkan kompaun tanpa sebarang garis panduan menyebabkan keadaan tidak bertambah baik walaupun garis panduan terbaru telah dikeluarkan.

Beliau juga berkata, proses rayuan pengurangan kompaun RM10,000 hanya menambah beban kepada para petugas barisan hadapan dan ianya satu tindakan tidak bertanggungjawab

“Keputusan kerajaan untuk “menendang bola” kepada pejabat kesihatan daerah (PKD) bagi rayuan kompaun adalah satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab.

“Pegawai-pegawai kita di PKD merupakan pekerja barisan hadapan menguruskan operasi sistem penjagaan kesihatan awam termasuk Covid-19.

“Kini, mereka terpaksa menjadi pusat memproses rayuan kompaun RM10,000 dengan pelbagai syarat, contohnya pelajar, B40, penyakit kronik dan sebagainya.

“Adakah ini cara yang baik untuk melawan Covid-19?,” soalnya dalam satu kenyataan media yang dipetik Malaysia Dateline.

Sementara itu, Steven mengingatkan Putrajaya untuk tidak menghukum rakyat di atas kegagalan kerajaan sendiri dalam menguruskan wabak Covid-19.

Jelasnya, diskaun 50 peratus yang ditawarkan tetap di luar kemampuan rakyat biasa.

Beliau juga menegaskan bahawa undang-undang Covid-19 harus lebih bersifat mendidik dan bukan menghukum, jauh lagi menghukum dengan sebegitu berat.

“Kerajaan persekutuan tidak boleh melepaskan tanggungjawab kegagalannya menguruskan wabak dengan menghukum rakyat dengan undang-undang yang berat.

“Strategi utama kerajaan untuk melawan Covid-19 ialah melalui pemerkasaan 3T (testing, tracing, treatment), bukan mencari kesalahan rakyat,” ujarnya lagi.