Kompaun SOP tiada diskaun lewat bayar tempoh 14 hari

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:10 PG

Individu dan syarikat yang dikenakan kompaun pelanggaran SOP berdasarkan kesalahan di bawah Akta 342 kini boleh mendapat pengurangan bayaran sehingga 50 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat kabinet yang bersidang pada Rabu, seperti dilapor Sinar Online.

"Seseorang individu atau syarikat yang disaman dan dikenakan kompaun serta membayarnya dalam tempoh tujuh hari secara automatik boleh mendapatkan diskaun 50 peratus," katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurutnya, jika pembayaran dibuat dalam tempoh 14 hari, individu atau syarikat berkenaan layak mendapat pengurangan sebanyak 25 peratus.

"Jika tidak membuat bayaran selepas 14 hari, mereka tidak akan mendapat sebarang pengurangan," katanya dipetik Sinar Online.

Menteri dari PAS, Takiyuddin turut berkata, kerajaan akan memberi pertimbangan kepada orang kurang upaya (OKU) dan miskin yang dikenakan kompaun untuk mendapat lebih pengurangan dengan membuat rayuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui saluran tertentu.

"Di Labuan, mereka boleh merayu dengan tiga pegawai iaitu Pengarah Kesihatan Negeri, Timbalan Pengarah Negeri (Kesihatan Awam) dan Pengarah Kesihatan Epidemiologi," katanya.

Takiyuddin berkata, di Semenanjung rayuan boleh dibuat kepada empat pegawai iaitu Pengarah Kesihatan Negeri, Timbalan Pengarah Negeri (Kesihatan Awam), Pegawai Daerah dan Pengarah Kesihatan Epidemiologi.

"Begitu juga di Sabah dan Sarawak," katanya lagi.

Menurutnya, setiap permohonan rayuan perlu dikemukakan bukti sokongan dan borang pengurangan kompaun boleh didapati di laman sesawang KKM.

Jelasnya, kompaun yang dikenakan bukan sebagai hukuman atau mendera rakyat sebaliknya untuk mengawal penularan jangkitan Covid-19.