Zahid dibicarakan 40 pertuduhan rasuah Visa luar negara pada 24 Mei

Ana Ghoib Syeikh Malaya 10:13 PG
Ahmad Zahid Hamidi dibicarakan di mahkamah atas pelbagai tuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan rasuah. - Foto Malay Mail 

Perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) akan bermula 24 Mei di Mahkamah Tinggi di Shah Alam.

Sebelum ini kes itu ditetapkan untuk perbicaraan pada 12 April ini tetapi ditangguhkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kemudiannya ditunda ke Mei hingga Jun berikutan pertukaran Hakim Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa yang akan mendengar kes itu menetapkan 16 hari untuk perbicaraan iaitu pada 24, 25 dan 27 Mei, 1-3 Jun, 14-18 Jun dan 21-25 Jun.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata 15 saksi dijangka dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan itu.

Ahmad Zahid, 68, yang juga Presiden Umno tidak hadir ke mahkamah dan diwakili peguam Hamidi Mohd Noh.

Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

- BERNAMA