MELAKA: Landskap Pulau Besar yang selama ini boleh dianggap “membosankan” bakal diceriakan dengan kehadiran “bunga sakura” Malaysia atau bunga tekoma yang bakal ditanam oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tidak lama lagi.
Datuk Bandar MBMB Zainal Abu berkata, perancangan tersebut dirasai sesuai dalam usaha membangunkan sektor pelancongan dan tidak mustahil pengindahan landskap itu mampu mengubah Pulau Besar menjadi seperti Pulau Jeju di Korea Selatan.
“Kita sedar pokok ini mempunyai tarikan yang tersendiri dan sebab itulah timbul cadangan untuk menanamnya di Pulau Besar.
“Kita mahu ubah landskap Pulau Besar yang dari dulu hingga sekarang, sama sahaja.
“Jadi selepas ini apabila tiba musim pokok tekoma berbunga, kita sudah ada satu tempat khusus atau ‘hot spot’ untuk pengunjung mengabadikan keindahan bunga dan suasana yang dikatakan seumpama di Korea Selatan atau Jepun itu,” katanya ketika dihubungi.
Sejak beberapa hari lepas, pokok dengan nama saintifiknya “Tecoma stans” daripada keluarga Bignoniaceae yang berasal dari benua Amerika itu mula mengeluarkan bunga berwarna merah jambu dan putih seperti sakura, sekali gus mengindahkan lagi pemandangan di bandar raya ini.
Suasana serupa turut dapat dinikmati di beberapa kawasan di ibu negara serta di Alor Setar, Kedah sehingga menarik masyarakat setempat untuk mengabadikan memori di bawah pokok tersebut.
Selain Pulau Besar, beberapa kawasan lain juga dikenal pasti untuk ditanami pokok tekoma seperti Bukit Serindit, Taman Bunga Merdeka, kawasan rekreasi serta sepanjang jalan raya yang dirasai sesuai kerana MBMB tidak mahu berdepan masalah pembersihan selepas bunga itu gugur, katanya.
Menurut Zainal pihaknya juga sedang meneliti beberapa jenis pokok lain yang boleh ditanam sebagai penyeri tambahan kepada pokok tekoma.
“Setakat ini, kita rasa pokok kelat paya atau ‘Eugenia papilose’ berpotensi ditanam kerana mudah dibentuk, rimbun dan tinggi.
“Paling utama, pokok itu tidak merosakkan struktur longkang dan mudah dijaga,” jelasnya. - BERNAMA
beautiful resort beautiful vacation places Berita Harian Holiday Melaka