Demi selamatkan diri, penyeludup tinggalkan 4,000 kain tudung

Ana Ghoib Syeikh Malaya 9:29 PTG
Kain tudung itu disyaki diseludup dari Thailand sebagai persediaan awal memenuhi permintaan Aidilfitri. (Gambar PGA)

KOTA BHARU: Seorang penyeludup melarikan diri menggunakan perahu ke negara jiran dan meninggalkan 4,000 helai kain tudung bernilai RM160,000 bagi mengelak ditahan pihak berkuasa di Kampung Simpangan, Tumpat, malam tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion Ke-9 Pasukan Gerakan Am (PGA9), Nor Azizan Yusof berkata, dalam kejadian tersebut, anggotanya yang sedang melakukan rondaan Operasi Benteng di lokasi berkenaan mengesan sebuah kereta Proton Iswara dalam keadaan mencurigakan pada 10 malam.

“Anggota yang cuba mendekati kenderaan itu terkejut, apabila pemandu kereta keluar secara tiba-tiba sebelum bergegas ke sungai menaiki sebuah perahu dan terus melarikan diri ke negara jiran.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan menemui 4,000 helai kain tudung dalam beberapa bungkusan yang disumbat di bahagian tempat duduk penumpang dan but kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Azizan berkata, siasatan mendapati semua kain tudung itu disyaki diseludup masuk dari Thailand untuk pasaran tempatan, sebagai persediaan awal buat peniaga memenuhi permintaan pelanggan menjelang musim perayaan Aidilfitri.

“Susulan kejadian ini, semua barangan kes bernilai RM167,000 termasuk kenderaan, diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.”

- BERNAMA