Politik Umno tak seperti lalang ditiup angin, Zahid sindir PAS

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2:51 PG
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, dilihat mengingatkan PAS bahawa tindakan berpijak “di tapak berbeza” tidak menjanjikan sebarang keberuntungan, apatah lagi pertambahan kerusi.

Beberapa pemimpin Umno sebelum ini menegur PAS kerana di lihat ‘berenang dalam dua kolam’, iaitu bersekutu dengan Umno menerusi MN dan menjadi parti komponen Perikatan Nasional yang ditunjangi PPBM bawah pimpinan Muhyiddin Yassin.

“Kita telah mempersetujui dalam mesyuarat Muafakat Nasional untuk tidak tergesa-gesa menyertai mana-mana gabungan parti-parti politik. Kedua-dua kaki Umno tetap berpijak di bumi yang sama. Sikap politik Umno tidak akan seperti lalang ditiup angin,” kata Zahid dipetik FMT ketika merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2020.

Dalam ucapan dasarnya, Zahid tegas menolak kerjasama dengan PPBM dan mengupas sejarah penubuhan MN pada 2019 bersama PAS.

Beliau berkata permuafakatan Umno-PAS membawa kepada tujuh kemenangan dalam pilihan raya kecil namun melahirkan rasa kesal kerana “pendirian politik telah berubah” dengan penubuhan gabungan Perikatan Nasional yang diasaskan Muhyiddin.

“Ingin saya tegaskan, kita hanya menyokong pembentukan sebuah kerajaan yang kemudian dinamakan kerajaan Perikatan Nasional. Tidak disangka ada pihak yang membentuk gabungan parti politik yang juga dinamakan Perikatan Nasional, tanpa penyertaan Umno,” kata Zahid.

Zahid berkata, Umno “akan terus jujur untuk menterjemahkan piagam (MN) dan perjanjian persefahaman berkenaan(dengan PAS).

“Piagam MN yang termeterai belum sampai ke penghujungnya. Namun belum terlewat untuk kita kembali ke pangkal jalan,

“Kita yakin permuafakatan ini mendapat sokongan padu dalam kancah politik negara dan membuka ruang kepada Umno dan BN kembali menerajui negara,” katanya dipetik FMT.

Walaupun didesak pelbagai pihak untuk memilih salah satu – Umno atau PPBM, PAS menegaskan ia tidak akan berbuat demikian malah yakin ia dapat ‘mendamaikan’ dua parti bersengketa itu dalam menghadapi PRU15.