Tommy Thomas melampau tuduh orang sudah tiada - Najib

Ana Ghoib Syeikh Malaya 5:22 PG
Najib Razak kesal buku Tommy Thomas kaitkan bapanya dengan rusuhan 13 Mei 1969. - Foto MG/Affan Fauzi

Waris Allahyarham Tun Razak Hussien akan berbincang sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas. 

Ini susulan buku terbaharu Tommy bertajuk My Story: Justice in Wilderness yang mendakwa rusuhan kaum pada 13 Mei tidak berlaku secara spontan sebaliknya telah dirancang terlebih dahulu.

Pada muka surat 27 buku itu, Tommy mendakwa tragedi itu merupaka salah satu agenda rampasan kuasa oleh Allahyarham Tun Abdul Razak.

Bekas Perdana Menteri Najib Razak berkata, tuduhan Tommy tanpa mengemukakan bukti yang sahih terhadap Allahyarham Tun Abdul Razak adalah keterlaluan.

Ia bukan sahaja melibatkan keluarga Allahyarham Tun Abdul Razak sahaja, malah parti UMNO yang dianggotainya.

“Memang amat keterlaluan apabila beliau membuat tuduhan terhadap seseorang yang sudah tidak ada tidak boleh mempertahankan dirinya.

“Malah tuduhan itu pula tidak disertakan dengan apa-apa bukti yang sahih.

“Kita tengoklah..Terpulang. Keluarga kami akan membuat keputusan (sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang atau tidak),” katanya ketika ditemubual oleh Malaysia Gazette hari ini.

Bagaimanapun menurut bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, setakat ini, mereka boleh sampai ke tahap mahu menyaman bekas Peguam Negara itu.

“Kita sedang memikirkan apa yang patut dilakukan. Jelas sekali buku Tommy Thomas ini bukan sekadar mencetuskan kontroversi hangat tetapi telah melanggar etika sebagai seorang bekas Peguam Negara.

“Kedua, sama ada pendedahan beliau ini boleh dianggap melanggar undang-undang negara seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) atau Akta Hasutan mahu pun aspek perundangan yang lain, itu terserah kepada pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.

Menurut Najib yang juga merupakan anak sulung kepada bekas Perdana Menteri Kedua itu, terdapat beberapa laporan polis yang telah dibuat terhadap Tommy.

Ini kerana buku tulisannya itu telah mencemarkan insitusi Peguam Negara dan perundangan yang sangat dihormati di negara ini.