Syarikat Telko gergasi kaya raya berilah 'pakej kasih sayang' buat PdPR - Salahuddin Ayub

Ana Ghoib Syeikh Malaya 10:34 PG
 

Salahuddin Ayub merayu syarikat-syarikat telekomunikasi untuk mengurangkan harga data internet kepada pelajar sekolah dan universiti juga kolej yang terpaksa bergantung kepada kelas dalam talian di rumah masing-masing ketika pandemik Covid-19.

Timbalan presiden Amanah dan Ahli Parlimen Pulai itu berkata, syarikat telekomunikasi boleh mengadakan satu pakej atau program khas yang memberi tumpuan terhadap golongan kurang bernasib baik.

“Ini akan dapat membantu anak-anak kita yang tidak berkemampuan ini. Sudahlah bapanya kena balikan gajet di musim Covid-19 ini (untuk PdPR).

“Jangan menunggu arahan kerajaan sahaja. Saya merayu, dia (syarikat telekomunikasi) mesti tampil untuk melakukan (sesuatu), ketika rakyat susah ini.

“Buat sementara waktu sahaja, ketika waktu Covid-19, untuk anak-anak kita mendapat akses dengan pembelajaran dalam talian,” katanya dipetik Malaysiakini.

Bahkan, tambah Salahuddin, kementerian berkaitan seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat boleh membantu dengan menyediakan data supaya bantuan tersebut difokuskan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Tulisnya di Twitter: "Saya syorkan sykt telekomunikasi mengurangkan harga data bg membantu pelajar. Takkan PM dan Pak Menteri tak nampak isu yg bebankan ibubapa ini ? @MuhyiddinYasin @syedsaddiq467

Susulan gelombang ketiga Covid-19 serta pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan sesi persekolahan bersemuka yang sepatutnya bermula 20 Jan lalu hanya membabitkan pelajar yang akan mengambil peperiksaan utama.

Ia melibatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan peperiksaan setaraf yang lain.

Pelajar-pelajar lain pula akan belajar menerusi kelas dalam talian di rumah masing-masing, di bawah PdPR.

Ketika mengumumkan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) pada 18 Januari lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan pemberian data 1 gigabait (GB) percuma setiap hari untuk tujuan pendidikan, bermula 1 Jan hingga April.

Kata Salahuddin, meskipun ada inisiatif sedemikian daripada kerajaan, masih ada keluarga yang tidak berkemampuan kerana ditimpa kesan PKP, seperti kehilangan pekerjaan dan sebagainya.

Bekas menteri pertanian dan industri asas tani itu bercerita, setiap kali dia pulang dan turun padang ke kawasannya di parlimen Pulai setiap minggu, dia menerima banyak aduan penduduk yang dihimpit kesusahan.

“Sebenarnya memang ramai rakyat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, pada musim Covid-19 ini. Contohnya, kalau merekat ak (dapat) membuka warung, atau suami atau anaknya diberhentikan kerja daripada kilang, memang tak boleh makan.

“Apatah lagi untuk membelikan gajet, untuk membayar data untuk anak-anak mereka yang tidak bersekolah ini (secara fizikal).

“”[...] Memang inilah isunya (yang diadukan kepadanya), untuk mengisi perut (bread and butter), dan bertambah lagi satu isu untuk melengkapkan anak-anak dengan pembelajaran dalam talian, (membeli) gajet.

“Kemudian, kena beli data pula. Itulah, saya merayulah,” katanya.

Justeru, kata Salahuddin, inilah masanya syarikat telekomunikasi melaksanakan tanggungjawab sosial mereka bagi membantu rakyat yang terkesan dan sangat memerlukan, setelah sekian lama mengaut keuntungan.

Lebih-lebih lagi, katanya, dia tidak melihat syarikat telekomunikasi tergolong dalam perusahaan yang terkesan teruk daripada Covid-19 dan PKP, memandangkan orang ramai masih lagi terus menggunakan internet sepanjang tempoh itu.

“Saya harap syarikat-syarikat gergasi telekomunikasi ini tampil dengan wajah kasih sayang mereka untuk rakyat. Saya cadang pakej khas itu diberi nama pakej kasih sayang," katanya.

Untuk rekod sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 2 Feb mengeluarkan kenyataan mengalu-alukan syarikat telekomunikasi bagi turut sama membantu menjayakan PdPR.