Salahuddin mohon Istana Negara periksa masalah negara ditadbir ‘kerajaan 109’

Ana Ghoib Syeikh Malaya 7:53 PG
 

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub memohon agar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meneliti permasalahan negara yang ditadbir oleh kerajaan hilang majoriti.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pihak Istana Negara perlu berbuat demikian memandangkan rakyat tertekan dengan polisi dan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Menjunjung tinggi konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen mohon pihak Istana Negara memeriksa permasalahan negara yang ditadbir oleh kerajaan 109 .

“Rakyat sedang sengsara dengan sop dan polisi kabinet yg membingungkan. Tuanku dan rakyat berpisah tiada,” kata ADUN Simpang Jeram berkenaan menerusi laman Twitter hari ini.

Salahuddin antara tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memfailkan permohonan berhubung deklarasi bahawa nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung sidang DUN di dalam tempoh darurat adalah tidak berperlembagaan.

Mahkamah menetapkan 11 Mac depan bagi keputusan permohonan semakan kehakiman oleh ketiga-tiga wakil rakyat terbabit.

Untuk rekod, sejak 12 Januari lalu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya memiliki sokongan 109 Ahli Parlimen sahaja.

Dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, pelbagai tatacara berkaitan dikuatkuasakan dan tindakan kompaun RM1,000 bakal dikenakan terhadap pelanggaran SOP.

Ekoran itu, ratusan individu dikenakan tindakan setiap hari kerana dianggap ingkar PKP.

Bagaimanapun, rata-rata rakyat tidak puas hati apabila melihat undang-undang tersebut seolah-olah dikecualikan kepada menteri.

Paling hangat mengundang berang rakyat ialah menteri yang kembali dari lawatan rasmi luar negara tidak perlu menjalani SOP tempoh kuarantin 10 hari yang ditetapkan kerajaan.

Menerusi perintah yang dikeluarkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba itu, menteri terbabit sebaliknya menjalani pemerhatian hanya selama tiga hari.

Kelmarin pula, tular gambar di media sosial menunjukkan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa makan bersama beberapa individu lain yang duduk di meja sama dalam program pertanian bandar di Cheras.