Jaga hutan Kelantan 3 pistol, 5 senapang mana cukup, kata Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri

Ana Ghoib Syeikh Malaya 8:01 PG
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan Abdul Khalim Abu Samah berkata terdapat 37 HSK di negeri ini merangkumi bahagian Kelantan Selatan di Gua Musang, Kelantan Barat di Tanah Merah dan Kelantan Timur di Machang. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) merancang menambah senjata api bagi tujuan penugasan dan penguatkuasaan dalam membanteras kegiatan pencerobohan hutan simpan.

Pengarahnya Abdul Khalim Abu Samah berkata, setakat ini jabatan itu hanya mempunyai tiga pucuk pistol dan lima laras senapang patah yang didapati tidak mencukupi untuk kegunaan pegawai dan anggota dalam menjalankan penugasan khususnya di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) seluas 629,775.13 hektar.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah mengeluarkan 17 lesen senjata api kepada jabatan itu sejak dua tahun lepas.

“Justeru kita berhasrat membeli senjata api tambahan untuk dibekalkan kepada semua pemegang lesen yang ada. Kita berharap dengan pembelian itu tugas-tugas penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan hutan dapat dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau, bagaimanapun berkata semua peruntukan bagi pembelian senjata api itu bergantung kepada peruntukan oleh kerajaan negeri.

Katanya, terdapat 37 HSK di negeri ini merangkumi bahagian Kelantan Selatan di Gua Musang, Kelantan Barat di Tanah Merah dan Kelantan Timur di Machang.

“Sejak lima tahun lepas kita dapati 16 daripada 37 HSK di Kelantan diceroboh pembalak haram bagi mendapatkan kayu bernilai tinggi. Daripada 16 kawasan yang diceroboh itu, kebanyakannya berlaku di jajahan bahagian timur Kelantan,” katanya.

Beliau turut berkata, tahun lepas pihaknya berjaya mengesan 27 kes pembalakan haram di negeri ini yang mendatangkan kerugian berjuta-juta ringgit selain kemusnahan alam sekitar. - BERNAMA