Rosmah bebas tuduhan rasuah atau dipanggil bela, Mahkamah tetapkan 18 Feb

Ana Ghoib Syeikh Malaya 11:44 PTG
Datin Seri Rosmah Mansor didakwa kes rasuah RM1.2 bilion projek solar sekolah di Sarawak - Foto The Edge Markets
Grafik kes rasuah Rosmah Mansor oleh The Malay Mail

 Keputusan sama ada isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor akan dibebaskan dari tuduhan rasuah atas dakwaan meminta rasuah berjumlah RM187.5 juta atau dipanggil membela diri akan diketahui pada 18 Februari.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh itu setelah hakim Mohamed Zaini Mazlan mendengar hujah lisan dari pasukan pendakwaan dan pembelaan hari ini.

Rosmah, yang merupakan isteri kepada Najib Razak, diwakili oleh peguam yang diketuai oleh Jagjit Singh dan Akberdin manakala bekas hakim Mahkamah Tinggi, Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan.

Rosmah menghadapi tiga tuduhan rasuah atas dakwaan meminta RM187.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion melalui rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Dia juga dituduh menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta dari Saidi antara 2016 dan 2017.