Foto tangkap layar oleh Malaysiakini |
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menafikan beliau menulis komen berbentuk hinaan pada hantaran Facebook Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.
Kata Ahmad Zahid cercaan berkenaan tular di media sosial termasuk di WhatsApp namun ia adalah fitnah.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah tersebut," katanya.
Malaysiakini melaporkan kemunculan Muhyiddin di media sosial sejak akhir-akhir ini banyak menarik perhatian dengan sesetengahnya membuat komen berbentuk hasut maya atau kecaman.
Ia berlaku ketika Muhyddin mempertahankan tindakan kerajaan Perikatan Nasional memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong agar darurat diisytiharkan, manakala parlimen pula digantung.
Ia mendapat kritikan perlbagai pihak termasuk dalam kalangan pemimpin Umno.
Kecaman turut dilontarkan pengguna media sosial dalam akaun Facebook Presiden Indonesia Joko Widodo ketika Muhyiddin melakukan lawatan rasmi ke Indonesia pada minggu lalu.
Ahli parlimen Bagan Datuk, Ahmad Zahid menjelaskan dia percaya ada pihak tertentu yang sengaja meninggalkan komen seumpama itu - yang dianggapnya biadab - menggunakan nama dan gambar profilnya bersama niat yang jahat.
Zahid percaya mungkin ada pihak yang menyunting imej komen berkenaan dan mengubah suainya untuk menunjukkan seolah-olah dia yang menulis komen berbentuk cercaan kepada Muhyiddin.
"Tindakan seperti itu jauh daripada amalan dan prinsip hidup saya. Kita perlu berbudi bahasa dengan semua meskipun berbeza pendirian politik.
"Saya menggesa pihak yang berbuat demikian supaya menghentikannya," kata Ahmad Zahid.
datuk seri ahmad zahid hamidi Free Malaysia Today Sinar Online Tan Sri Muhyiddin Yassin zahid hamidi