PH tolak PRU1`5 Muhyiddin, kembalikan mandat rakyat PRU14

Ana Ghoib Syeikh Malaya 4:32 PG
PRU15 bakal menyaksikan rakyat penyokong Pakatan Harapan cuba menjatuhkan DINOSAUR politik Malaysia - Foto Sinar Online

Pakatan Harapan (PH) tetap tidak mahu pilihan raya umum (PRU) diadakan, sebaliknya mahu mandat rakyat dikembalikan.

Tiga setiausaha parti dalam gabungan PH mempertikai kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang sering membangkitkan isu pilihan raya PRU15.

"Amat jelas rakyat Malaysia tidak inginkan pilihan raya pada waktu ini, tetapi mahu kestabilan politik untuk menyelesai isu pandemik dan ekonomi.

"Maka PH kekal dengan pendirian bahawa pilihan raya tidak diperlukan memandangkan mandat yang diberikan rakyat pada PRU-14 adalah sah sehingga 2023.

"Yang diperlukan adalah pengembalian mandat tersebut kepada pihak yang sepatutnya, pada kadar segera," kata mereka dalam satu kenyataan.

Kenyataan tersebut ditandatangani Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung Amanah, Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Foke.

Kerajaan PH tumbang selepas Bersatu yang dipimpin Muhyiddin Yassin dan bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bersama kumpulannya menarik sokongan terhadap PH.

Pada bulan Mac, Muhyiddin membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama dengan Umno, PAS, GPS dan parti dari Sabah.

Kini kedudukan kerajaan PN menjadi pertikaian kerana dikatakan sudah hilang majoriti.

Ia susulan tiga ahli parlimen BN iaitu, Tengku Razaleigh Hamzah, Nazri Aziz dan Ahmad Jazlan Yaakub menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Sementara itu, Majlis Presiden PH turut membincangkan isu Jawatankuasa khas bebas darurat yang telah diumum pada 12 Januari lalu.

"Senarai nama telah diberi kepada pihak kerajaan pada 21, Januari lalu, namun sehingga hari ini kami belum menerima sebarang maklum balas berkenaan pengaktifan jawatankuasa tersebut.

"Ini amat mendukacitakan kerana kami diberi gambaran bahawa jawatankuasa ini penting untuk meneliti keadaan semasa bagi membuat pengesyoran berkaitan penamatan darurat," kata kenyataan itu lagi.