Seolah-olah tidak tahan dengan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, warga maya menyuarakan rasa tidak puas hati mereka menerusi ruangan komen di akaun Facebook Istana Negara.
Dalam satu hantaran yang memuatnaik gambar Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam bagi sesi perbincangan dan pertukaran pendapat berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan, rata-rata warga maya menggunakan platform media sosial untuk mengadu kesukaran mereka sewaktu pandemik Covid-19 dan tidak kurang juga yang “menyerang” pentadbiran Muhyiddin.
Tidak terkecuali juga, ada yang meninggalkan komen-komen nakal mengenai jumlah majoriti yang menyokong pentadbiran Muhyiddin.
Salah seorang pengguna dengan nama Hazriq Zamali berkata; “Kami perlukan seorang pemimpin yang baik, serta bijak laksana untuk membantu kami di kala negara dilambung musibah.
“Bukan seorang pemimpin sekampit beras.. Daulat Tuanku moga Allah kurniakan kesihatan dan kesejahteraan yang baik pada seluruh kaum kerabat Sultan Pahang.”
Salman Khair pula berkata; “PM tiada majoriti pertama di Malaysia. Pelik bin ajaib. Daulat tuanku. Mohon tuanku sentiasa memberikan yang terbaik buat kami rakyat Malaysia,” katanya.
Mohd Farhan yang turut menyokong pendapat Salman itu membalas; “Betul tu. Sampai bilalah kita nak duduk di bawah kerajaan tak ada majoriti ni. YDPA sahaja harapan rakyat.”
Wan Jitraa mengadu; “Mohon tuanku faham kehendak rakyat. Rakyat dah cukup terseksa dan menderita di bawah kerajaan PN.
“Pelabur dah ramai lari, rakyat dah ramai yang tak ada kerja, hilang punca pendapatan, ekonomi negara makin teruk tuanku, kes rasuah makin meningkat. Harap tuanku dengarlah suara majoriti rakyat Malaysia.”
Pengguna Zainol Azhar turut menyuarakan kebimbangan yang serupa; Zainol Azhar “Tuanku, negara dan rakyat tidak akan berada di dalam keadaan yang baik jika income negara tidak berkembang.
“Pelabur asing hilang kepercayaan jika kerajaan itu rapuh. Kini pun terdapat banyak sektor-sektor awam telah mulai tutup sedikit demi sedikit. Ada di antara para pelabur asing pun sudah mulai berpindah arah ke negara-negara lain.”
Untuk rekod, sebelum ini beberapa pemimpin politik dari Umno mahupun pembangkang membangkitkan isu yang sama.
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki turut menuntut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali menjelaskan tindakan segera kerajaan bagi menangani kejatuhan terus pelaburan langsung asing (FDI) negara.
Dia turut memetik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) yang diterbitkan 24 Jan, FDI Malaysia merosot sehingga 68 peratus - jauh teruk berbanding negara negara lain Asean yang disebut dalam laporan itu. - Sumber: Malaysiakini
Free Malaysia Today Politik Tan Sri Muhyiddin Yassin Yang Di-Pertuan Agong