PUTRAJAYA: Kerajaan perlu memberikan penjelasan sewajarnya berikutan tindakan memberi kelonggaran kuarantin hanya tiga hari kepada anggota jemaah menteri yang baru pulang dari lawatan rasmi di luar negara.
Pakar virologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip mempertikaikan alasan sebenar Menteri Kesihatan memberikan menteri pengecualian menjalani pengawasan dan kuarantin wajib sekurang-kurangnya 10 hari.
Portal FMT melaporkan Dr Yahya berkata, pemberian pengecualian kepada menteri itu jelas bertentangan dengan amalan kerajaan yang mewajibkan semua individu yang baru pulang dari luar negara wajib menjalani kuarantin dan pengawasan sekurang-kurangnya 10 hari, sebelum dibenarkan bergerak bebas.
Beliau berkata Virus SARS-CoV-2, virus penyebab penyakit Covid-19 tidak pernah mengenal darjat, kaum, keturunan, agama atau pangkat kerana ia terbukti berupaya menjangkiti sesiapa sahaja.
“Sebab itulah saya juga masih tertanya-tanya mengapa pengecualian ini diberi kepada menteri. Saya mengharapkan pihak berkuasa dapat memberi alasan yang kukuh terhadap pengecualian ini.
“SARS-CoV-2, virus penyebab penyakit Covid-19 telah terbukti berupaya menjangkiti sesiapa sahaja. Malah, proses kuarantin adalah antara usaha kerajaan untuk mengekang penularan wabak itu dari luar,” katanya ketika dihubungi FMT di sini hari ini.
Dr Yahya berharap kerajaan dapat mengkaji dan menarik semula peraturan yang memberikan pengecualian itu.
Kerajaan dilapor media memberi kelonggaran kepada anggota Jemaah menteri yang kembali dari lawatan rasmi luar negara untuk menjalani pemerhatian selama tiga hari atau pengawasan sehingga dibenarkan keluar tanpa membahayakan kesihatan orang ramai.
Perkara itu dinyatakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan terbaru di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 yang disiarkan pada laman sesawang Jabatan Peguam Negara hari ini.
Warta yang ditandatangani Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba itu berkuat kuasa hingga 1 Ogos ini.
Kerajaan sebelum ini memendekkan tempoh kuarantin di Malaysia ke atas prosedur pengurusan kuarantin wajib kepada pengembara yang pulang dari luar negara dan kontak rapat kes yang disahkan positif Covid-19, daripada 14 kepada 10 hari.
KLIK BACA: "Penjenayah dukung kerajaan PN" punca rasuah, kata Tun Mahathir
KLIK BACA: Derhaka paling dahsyat kerajaan sengaja 'leka' lanjut darurat PKP, kata Najib