Menteri ada masa terluang basuh motor EX5 ketika ramai calon SPM terumbang-ambing

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:44 PTG
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkongsikan gambarnya lewat malam tadi yang dilihat sedang membasuh motosikal Honda EX5 miliknya.

Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang meninggalkan Pakatan Harapan (PH) itu memberitahu dia berbuat demikian apabila ada masa terluang.

Ahli politik yang baharu menerima anugerah Datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan lalu berkenaan juga berkata, dia sekali-sekala menggunakan motor ‘legend’ itu untuk ke pejabat.

“Bila ada masa terluang, saya basuh motor ‘legend’ ini yang sekali-sekala saya gunakan untuk ke pejabat.

“Siapa ada motor EX5, kita geng!” katanya dalam hantaran di Facebook lewat malam tadi.

Hantaran Radzi di media sosial itu berlaku ketika ramai murid sekolah dan guru bergelut dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akibat pandemik Covid-19.

Bukan sedikit guru stres dan hilang motivasi untuk mengajar termasuk kehadiran murid di kelas atas talian yang jauh merosot sepanjang pelaksanaan PdPR.

Terdapat juga guru senior yang dilapor masih tidak cekap menggunakan PowerPoint, Zoom dan peralatan dalam talian sekali gus menjejaskan prestasi murid.

Dalam masa sama, sebahagian besar murid dari keluarga B40 di tengah bandar raya Kuala Lumpur hingga ke kawasan luar bandar apa lagi di ceruk pedalaman dibimbangi tercicir apabila mengalami masalah dari segi akses internet dan kemudahan peranti.

Paling tertekan ribuan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sebelum ini merayu agar kerajaan membatalkan peperiksaan itu ekoran merasakan terumbang-ambing akibat pelbagai masalah dalam kaedah PdPR.

Seramai 400,445 calon mendaftar untuk SPM dijadualkan menduduki peperiksaan awam itu pada 22 Februari ini selepas beberapa kali ditunda.

Calon Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) juga menduduki peperiksaan masing-masing pada tarikh sama.

Sementara itu, Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula dianjak ke 8 Mac depan.

Sumber: MalaysiaDateline