Akui silap, tapi bukan alasan buat gangguan seksual

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:59 PTG
Kuala Lumpur: "Saya mengaku silap kerana tidak memakai coli ketika itu, namun ia bukan alasan untuk anggota polis berkenaan melayan saya sebegitu," kata kakitangan swasta yang mahu dikenali sebagai Anita, 24.

Menceritakan semula pengalamannya diganggu secara seksual oleh seorang anggota polis di sekatan jalan raya (SJR) Jalan Duta, di sini, Anita memaklumkan dia dalam perjalanan pulang dari Wangsa Maju ke Shah Alam, Selangor selepas mengambil barang pada 7 malam semalam.

Anita berkata, dia kemudian ditahan seorang anggota polis yang membuat pemeriksaan di SJR berkenaan.

"Anggota polis berkenaan meminta saya menunjukkan surat kebenaran (rentas negeri) serta lesen memandu, namun saya gagal menunjukkan lesen memandu kerana ia terlupa membawanya.

"Dia (anggota polis) kemudian meminta saya memberhentikan kereta di bahu jalan untuk pemeriksaan lanjut. Ketika pemeriksaan itu, dia menegur saya yang memakai baju tidur tanpa coli.

"Tindakan dia menegur perkara itu (tidak memakai coli) menyebabkan saya menjadi malu dan terus menutup dada kerana tidak selesa," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, anggota polis berkenaan juga memintanya membuka baju tidur untuk ditunjukkan kepadanya sebagai bukti bahawa dia benar-benar tidak memakai coli.

"Dia minta saya buka baju untuk tunjuk sama ada saya pakai coli atau tidak. Malah, dia seolah-olah mengugut dengan memberitahu akan menyaman saya sekiranya tidak berbuat demikian.

"Saya yang marah dengan tindakannya itu kemudian memintanya supaya memberikan saya saman sekiranya ada melakukan kesalahan. Namun, anggota berkenaan terus pergi ke khemah dan mengambil telefon bimbitnya.

"Dia kemudian meminta saya memberikan nombor telefon sebelum saya dibenarkan meneruskan perjalanan pulang," katanya.

Katanya, sebaik tiba di rumah, dia menerima panggilan telefon daripada anggota polis itu yang mengajaknya keluar bersama.

"Saya menceritakan perkara itu kepada rakan yang kemudian menyarankan supaya membuat hantaran berhubung kejadian itu di media sosial sebagai pengajaran kepada orang lain," katanya yang membuat laporan kejadian di Balai Polis Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

"Kes itu masih dalam siasatan dan pihak kami sudah membuka kertas inkuiri berhubung kejadian terbabit," katanya. - myMetro

Sumber: Harian Metro

Sumber Foto Twitter @sabiyusof dari website Lobak Merah