Pengusaha rayu kerajaan benarkan majlis perkahwinan, 62 ribu pekerja terjejas, rugi RM10.3 bilion setahun

Ana Ghoib Syeikh Malaya 8:19 PG
Pengusaha majlis perkahwinan dan catering terjejas akibat PKP Covid-19 - Foto hiasa

oleh Murnaena Muhammad Nasir

Tenat dan kebanyakannya terpaksa `gulung tikar'. Itu nasib dialami perunding dan pengusaha majlis perkahwinan yang kian nazak susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan.

Presiden Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM) Zarinah Mohideen 
berkata, kerajaan perlu melihat keadaan industri perkahwinan yang sangat tenat, kritikal dan terjejas akibat larangan beroperasi semasa pandemik Covid-19 khususnya ketika pelaksanaan PKP.

"Dianggarkan beratus pengusaha perkahwinan ini akan gulung tikar buat kali kedua dalam masa terdekat sekiranya industri ini kekal tidak beroperasi sehingga bulan Mac 2021 ini.

"Ini berikutan tiada sebarang aktiviti perkahwinan dapat diadakan pada bulan April berikutan bermulanya bulan Ramadan," katanya.

Menurutnya, terdapat lebih kurang 35 sektor di dalam industri perkahwinan membabitkan 4,200 pengusaha dan bilangan pekerja mencecah 62,000 orang.

"Secara kasar, anggaran jualan setiap pengusaha adalah RM2.5 juta setahun. Data ini secara amnya membuktikan bahawa 62,000 pekerja di dalam industri perkahwinan terkesan dengan teruk sejak larangan mengadakan majlis perkahwinan dengan nilai kerugian dalam bentuk hasil jualan tahunan dianggarkan sebanyak RM10.3 bilion.

"Untuk rekod purata jumlah majlis perkahwinan adalah sebanyak 206,000 setahun. Ini membuktikan betapa besarnya sumbangan industri perkahwinan kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata, penutupan industri dan larangan operasi ini juga membawa kepada pelbagai masalah perundangan yang dialami oleh pihak pengusaha majlis perkahwinan dan pengusaha yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam industri perkahwinan. 

"Rungutan daripada pelanggan, bayaran pampasan yang dituntut semula dan tidak terkecuali juga saman dilakukan oleh pihak pelanggan yang tidak berpuas hati. Ini menjadi titik tolak bebanan besar kepada pengusaha seperti kami.

"Permasalahan ini juga menyebabkan kerugian yang sangat besar yang perlu dihadapi dan ditanggung oleh pengusaha sekaligus menyebabkan peningkatan kes tuntutan di Tribunal Pengguna.

"Kadar pemulangan bayaran dan juga deposit meningkat 200 peratus dan tidak tertampung oleh kami yang tidak dapat menjalankan perniagaan kini susulan PKP," katanya.

Menurutnya, pihak PPMPM mengakui permasalahan ini memberikan impak yang besar dari segi emosi dan mental untuk mengharungi musim pandemik yang mencabar ini selain memastikan perniagaan dibina bertahun-tahun ini dapat dipertahankan.

"Kami sudah menghantar permohonan rasmi pembukaan semula industri perkahwinan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat.

"Kami mewakili pengusaha-pengusaha majlis perkahwinan di Malaysia merayu dan memohon pihak kerajaan dapat mendengar suara majoriti ini demi mengimbangi keperluan menjamin kelangsungan hidup hampir puluhan ribu pengusaha terjejas," katanya.

Sumber: myMetro