Khairy nafi konon vaksin Pfizer 'barang baik'

Ana Ghoib Syeikh Malaya 7:05 PTG
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang bertugas mengurus Vaksin Covid-19. - Foto FMT

Menteri Khairy menafikan anggapan rakyat bahawa golongan kenamaan dan petugas barisan hadapan hanya mengambil 'barang baik' menerusi suntikan Pfizer.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata tanggapan sinis sedemikian wujud, sejak beberapa hari lalu apabila bekalan vaksin pertama dari Amerika Syarikat (AS) itu tiba di Malaysia.

Sehubungan itu, beliau mengambil pendirian berbeza, dengan menawarkan diri untuk mendapatkan suntikan vaksin, selain Pfizer bagi mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap setiap keberkesanan pelalian yang diluluskan.

"Saya sedar mengenai pandangan dan pendapat rakyat apabila Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kita, Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah), Menteri Besar serta petugas barisan hadapan mula terima vaksin Pfizer.

"Mereka mula yakin Pfizer kerana tiada kesan sampingan direkodkan sehingga kini, tetapi rakyat kata, memanglah, sebab ambil barang baik.

"Justeru, saya buat keputusan untuk tidak ambil suntikan Pfizer kerana sudah terbukti selamat dan berkesan, sebaliknya biarlah ada dalam barisan Jemaah Menteri yang dapat vaksin lain.

"Maka, saya akan mendapatkan vaksin seterusnya yang diluluskan Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA), sama ada Sputnik, AstraZeneca atau Sinovac, saya akan ambil," katanya dipetik BHOnline pada sidang media sempena penghantaran Sinovac, hari ini.