Sultan Selangor berkenan terima suntikan vaksin selepas petugas barisan hadapan selesai

Ana Ghoib Syeikh Malaya 7:22 PTG
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj berkenan menerima giliran suntikan vaksin Covid-19 selepas petugas barisan hadapan Selangor selesai. - Foto ihsan Selangor Royal Office

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk menerima giliran suntikan vaksin COVID-19 selepas semua petugas barisan hadapan di Selangor selesai menerimanya.

BHOnline melaporkan Istana Alam Shah dalam satu kenyataan melalui Selangor Royal Office, berkata ini termasuk doktor, jururawat, kakitangan hospital, anggota keselamatan, polis, tentera dan guru, mendapat suntikan vaksin berkenaan.

"Tegas baginda, keutamaan pemberian vaksin ketika ini harus ditumpukan kepada petugas barisan hadapan yang sentiasa berdepan risiko jangkitan yang lebih tinggi.

"Justeru, sehingga semua petugas barisan hadapan mendapatkan suntikan vaksin masing-masing, baginda sendiri akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa, termasuk memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakan fizikal lebih satu meter serta duduk di rumah sekiranya tidak perlu untuk berada di luar," katanya.

Dalam kenyataan itu juga, baginda berkenan menasihatkan rakyat Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya, agar mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 masing-masing seperti yang dijadualkan oleh Kementerian Kesihatan.

"Baginda mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan kumpulan tertentu yang mendakwa diri mereka sebagai anti vaksin.

"Titah baginda, usaha yang dilakukan kerajaan menerusi pemberian vaksin ini seiring dengan tuntutan agama dan amat wajar dilakukan demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

"Namun demikian, walaupun sudah mendapatkan vaksin kelak, baginda mahu rakyat terus hidup dengan mengamalkan norma baharu sehinggalah pandemik COVID-19 ini dapat dikawal sepenuhnya," katanya.