Buku Tommy Thomas tersenarai antara 'best seller' Amazon - My Story: Justice in the Wilderness

Ana Ghoib Syeikh Malaya 9:10 PG
Kontroversi yang melanda buku "My Story: Justice in the Wilderness" tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, yang baru dilancarkan, mungkin menjadi daya penarik kepada banyak pihak untuk mendapatkannya di pasaran.

Astro AWANI melaporkan di laman web Amazon pada jam 12 tengah malam tadi, edisi 'kindle' bukunya melonjak ke tempat kedua buku laris (best seller) dalam kategori Biografi Peguam dan Hakim, mengatasi buku mengenai Naib Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris (Kamala's Way: An American Life) yang berada di kedudukan ke-10.

Bagi kategori Keluaran Baharu kategori Biografi Peguam dan Hakim pula, bukunya berada di kedudukan pertama, masih mengatasi Harris yang berada di tempat kedua.

Thomas yang menjadi Peguam Negara dari Jun 2018 hingga Februari tahun lalu mencetuskan kontroversi apabila banyak pihak mempertikaikan buku tulisannya itu yang didakwa mengandungi pelbagai fakta tidak betul, menghina, malah menfitnah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata setakat hari ini, polis telah menerima 134 laporan di seluruh negara berhubung buku atau memoir Tommy Thomas.

Huzir berkata siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman dan akan dilakukan secara terperinci sebelum mana-mana pihak dipanggil untuk dirakam keterangan termasuk Thomas.

“Satu daripada kertas siasatan yang dibuka adalah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan (membocorkan maklumat) dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Kertas siasatan ketiga dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut)," katanya dipetik BERNAMA.

Antara individu yang membuat laporan polis terhadap Thomas ialah bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan bekas Peguam Cara III Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Sementara itu, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan beliau telah memfailkan saman pemula terhadap Tommy Thomas berkaitan dakwaan beliau berpuas hati keterangan 2 saksi kes pembunuhan Altantuya iaitu Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri. - MalaysiaStylo

KLIK BACA: Nazir Razak kesal Tommy dakwa pemuda melayu bawa parang keris punca 13 Mei