Adik pukul kakak 'sampai lumpuh' kerana tak beri duit

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2:50 PG

 Ketua Polis Daerah Sibu Stanley Jonathan Ringgit berkata hubungan adik-beradik itu dikatakan tidak baik sejak sekian lama dan sering bergaduh. - Foto Bernama

SIBU: Seorang wanita berusia 49 tahun lumpuh hampir dua minggu selepas dipercayai dipukul adik lelaki bongsunya dengan batang penyapu dalam pergaduhan di rumah mereka di Sungai Antu.

Ketua Polis Daerah Sibu Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa Tiong Mee Kiong, mengalami “vertebra subluksasi” atau “dislokasi” pada dua bahagian tulang belakangnya (C5 dan C6) menyebabkan mangsa lumpuh dari dada ke bawah dan walaupun akan menjalani pembedahan esok, peluangnya untuk pulih sepenuhnya, tipis.

“Hubungan adik-beradik itu tidak baik sejak sekian lama dan sering bergaduh tetapi tidak pernah menggunakan kekerasan fizikal,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, insiden itu berlaku pada 3 petang, 22 Jan lepas apabila suspek lelaki berusia 44 tahun dipercayai meminta wang daripada mangsa dan kakaknya enggan melayan namun apabila suspek asyik meminta wang daripadanya, mangsa hilang sabar, terus mengambil batang penyapu dan memukul suspek.

“Suspek bertindak balas dengan merampas penyapu itu daripada mangsa dan dipercayai mula memukul kakaknya berulang kali di bahagian kepala, badan dan belakang badan menyebabkan mangsa jatuh di lantai ruang tamu di tingkat atas rumah mereka,” katanya.

Stanley berkata dipercayai suspek terus memukul mangsa walaupun kakaknya tidak berdaya, terbaring di lantai dan suspek hanya meninggalkan rumah itu selepas ibunya yang berusia 71 tahun, yang berada di tingkat bawah semasa insiden itu, menjerit kepadanya supaya berhenti memukul kakaknya.

Ibu mangsa kemudian menghubungi ambulans bagi membawa anaknya ke hospital untuk rawatan.

“Pada mulanya kedua ibu bapa mereka tidak mahu membuat laporan polis tetapi selepas didesak oleh mangsa, ibunya setuju membuat laporan semalam,” katanya.

Susulan laporan itu, suspek ditahan 2.10 petang semalam dan direman tujuh hari bermula hari ini untuk membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan senjata.

Beliau berkata, kes itu akan dirujuk kepada pegawai perlindungan Jabatan Kebajikan untuk mendapatkan perintah perlindungan sementara untuk mangsa. - Bernama


KLIK BACAPendedahan PANAS Tommy dalam buku mengenai Sirul Azilah kaitkan Najib Altantuya

KLIK BACA: Siapa Lyiana Roslee isteri ahli politik yg boleh digantung edar ganja?

BACA LANJUTTommy dedah siapa Mahathir fakta mengejutkan - Dr Kamarul