Dua dituduh tipu pelaburan Bitcoin lebih RM150,000, mengaku tak bersalah

Ana Ghoib Syeikh Malaya 9:19 PTG

Redzuan Ismail dan Adan Ibrahim didakwa menipu pelaburan Bitcoin dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh  - Foto FMT

IPOH: Dua peniaga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menipu tiga orang wanita berkenaan pelaburan Bitcoin berjumlah RM150,500 tahun lalu.

Redzuan Ismail, 38 dan Adan Ibrahim, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus di Mahkamah Majistret.

Bagi pertuduhan pertama, Redzuan dan Adan didakwa menipu Nur Raihan Shabila Md Noor sebanyak RM26,000 dengan menjanjikan pulangan pelaburan sebanyak 20% selama tujuh bulan berturut-turut.

Kesalahan itu dilakukan pada 12 tengah hari di sebuah hotel di Meru pada 26 Julai tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Redzuan dan Adan pada masa dan lokasi sama dituduh menipu Rozidah Yahya sebanyak RM120,000 dengan turut menjanjikan pulangan pelaburan dengan kadar yang sama untuk tempoh sama.

Bagi pertuduhan ketiga pula, kedua-dua mereka dituduh menipu Normah Shaari sebanyak RM4,500 di lokasi yang sama dengan menjanjikan pulangan pelaburan 20% untuk tempoh sama pada 8 Mei tahun lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K Darinee manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Aizul Rohan Anuar, Hazwa Mahira Azman dan Nurradiah Zaini.

Mahkamah menetapkan 9 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Aizul memohon mahkamah supaya membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan untuk anak guamnya kerana mereka memberikan kerjasama baik dalam kes berkenaan selain akaun bank perniagaan mereka sudah lama dibekukan.