4 maut hospital Covid-19 terbakar

Ana Ghoib Syeikh Malaya 10:19 PTG

Kiev: Tiga pesakit dan seorang doktor meninggal dunia dalam kebakaran di hospital merawat kes Covid-19 di selatan Ukraine pada tengah malam Khamis.

Semua mangsa berada di unit rawatan rapi Hospital Klinikal dan Penyakit Berjangkit Wilayah di Zaporizhzhia, terletak 450 kilometer dari sini.

Dua lagi pesakit mengalami lecur dan keracunan akibat bahan yang terbakar, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Ukraine seperti dilapor euronews.

Difahamkan, kebakaran bermula di aras bawah hospital lima tingkat itu, yang mana pesakit Covid-19 maut berusia 91, 76 dan 64 tahun serta bergantung kepada alat bantuan pernafasan, manakala doktor berumur 26 tahun.

Pasukan kecemasan tiba di lokasi sejurus maklumat dan berjaya menyelamatkan lapan mangsa lain termasuk dua pesakit yang cedera, manakala kebakaran berjaya dikawal pada 12.19 tengah malam waktu tempatan.

Kementerian itu juga mengesahkan siasatan dibuat mengikut Peraturan Keselamatan Kebakaran bagi mengesan sebarang pelanggaran peraturan dan punca sebenar kebakaran.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkongsi kesedihan akibat insiden itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, pejabat pendakwa raya negara terbabit mengumumkan sudah menahan ketua hospital yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan standard mencegah kebakaran untuk siasatan lanjut.

Bulan lalu, sekurang-kurangnya 15 orang maut selepas kebakaran berlaku di rumah persaraan di bandar Kharkiv, timur Ukraine.

Manakala, di negara jiran, Romania berlaku kebakaran hospital di Bucharest yang mengorbankan lima orang, minggu lalu. - Agensi